Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran meramalkan Kuantan, Pekan dan Rompin berkemungkinan dilanda banjir membabitkan lokasi hotspot, kawasan rendah serta berisiko bermula kelmarin hingga esok.
Menurut kenyataan PRABN memaklumkan ramalan itu susulan amaran hujan berterusan (waspada) oleh Jabatan Meteorologi.
Antara lokasi diramalkan terlibat di Kuantan ialah kawasan dalam Lembagan Sungai Kuantan membabitkan Sungai Kuantan, Sungai Lembing, Sungai Kenau, Sungai Beserah, Sungai Chereh, Sungai Belat dan Sungai Soi.
Selain itu, Lembangan Sungai Cherating (Sungai Cherating), Lembangan Sungai Pahang (Sungai Lepar) dan Lembangan Sungai Penor (Sungai Penor).
Bagi daerah Pekan, kawasan terlibat ialah Lembangan Sungai Bebar, Lembangan Sungai Miang, Lembangan Sungai Pahang (Sungai Pahang, Sungai Pahang Tua dan Sungai Mentiga) serta Lembangan Sungai Mercung.
Di Rompin pula membabitkan kawasan di Lembangan Sungai Endau (Sungai Endau dan Sungai Anak Endau), Lembangan Sungai Rompin (Sungai Rompin, Sungai Pukin, Sungai Kepasing, Sungai Keratong, Sungai Jeram, Sungai Gayong, Sungai Chanis dan Sungai Buan) selain Lembangan Sungai Pontian Pahang (Sungai Pontian Pahang).
Menurut kenyataan itu, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan, amaran dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi.
IMedikel TV






