Home Sukan PAHANG JUARA RENANG PANTAI TIMUR DENGAN MENGUMPUL 84 EMAS, 63 PERAK, 68...

PAHANG JUARA RENANG PANTAI TIMUR DENGAN MENGUMPUL 84 EMAS, 63 PERAK, 68 GANGSA 

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Kontinjen Pahang terus mengukuhkan dominasi dalam sukan renang apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Renang Pantai Timur Kali Ke-3 2026 dengan kutipan 84 pingat emas, 63 perak dan 68 gangsa.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu berakhir di Kompleks Renang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.

Pahang mengungguli carta pungutan pingat dengan keseluruhan 215 pingat, meninggalkan Terengganu di tempat kedua dengan 36 emas, 40 perak dan 34 gangsa, manakala Kelantan menduduki tempat ketiga menerusi kutipan 21 emas, 15 perak dan sembilan gangsa.

Pengerusi penganjur kejohanan, Chiam Yee Yoong, berkata prestasi memberangsangkan serta semangat juang tinggi yang ditampilkan atlet menjadi antara faktor kejayaan Pahang mengekalkan kejuaraan pada edisi kali ini.

Menurutnya, pencapaian itu juga menunjukkan peningkatan berbanding kejohanan tahun lalu apabila Pahang meraih 75 emas, 72 perak dan 70 gangsa.

Katanya, kejohanan kali ini menyaksikan penyertaan 234 perenang lelaki dan perempuan yang bersaing dalam 137 acara menerusi enam kategori, iaitu bawah sembilan, 11, 13, 15 dan 18 tahun serta kategori terbuka khusus untuk atlet Sukan Malaysia (SUKMA).

“Sebanyak 10 kelab mewakili Pahang, enam kelab dari Terengganu dan satu kelab dari Kelantan mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini.

“Menariknya, buat pertama kali penganjur menggunakan sistem elektronik bagi memastikan keputusan pertandingan dapat diperoleh dengan lebih tepat dan pantas berbanding kaedah sebelum ini,” katanya.

Mengulas penyumbang pingat bagi kontinjen Pahang, beliau berkata Persatuan Akuatik Pahang muncul antara penyumbang utama dengan kutipan 49 emas, 25 perak dan 20 gangsa.

Ayakurik Swimming Club turut menyumbang 28 emas, 33 perak dan 31 gangsa dalam membantu Pahang mempertahankan kejuaraan.

Kejohanan itu dianjurkan Persatuan Akuatik Pahang dengan kerjasama Innotex System.

Sementara itu, perenang Gohok Swimming Club, Adam Shahrul Rizal, meluahkan kegembiraan apabila berjaya menyumbangkan lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa sekali gus muncul antara penyumbang pingat terbanyak kepada kontinjen Pahang.

Katanya, kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi bagi menghadapi dua lagi kejohanan renang peringkat kebangsaan selepas ini.

“Sokongan padu jurulatih dan ibu bapa menjadi antara pencetus utama kejayaan saya meraih lima pingat emas serta masing-masing satu perak dan gangsa pada kejohanan kali ini,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here