Home Buletin Semasa KERAJAAN PAHANG KOMITED KEKALKAN KHAZANAH ALAM SEMULA JADI

KERAJAAN PAHANG KOMITED KEKALKAN KHAZANAH ALAM SEMULA JADI

KUANTAN: Kerajaan Pahang komited memastikan khazanah alam semula jadi negeri ini terus dipelihara menerusi perancangan rapi, pengurusan berkesan serta sokongan penyelidikan bagi menjamin kelestariannya untuk generasi akan datang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata negeri ini bertuah kerana dikurniakan kekayaan alam semula jadi yang amat bernilai dan mempunyai keunikan tersendiri, sekali gus menuntut usaha berterusan semua pihak untuk melindunginya.

Katanya, khazanah seperti hutan, sungai, flora, fauna dan landskap geologi perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab memandangkan setiap satunya mempunyai nilai ekologi, saintifik, pendidikan, sosial dan ekonomi yang saling berkait.

“Hutan merupakan habitat kepada pelbagai spesies tumbuhan dan hidupan liar, membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem, melindungi sumber air serta menyokong daya tahan alam sekitar.

“Pada masa sama, hutan menyediakan peluang untuk pendidikan, penyelidikan dan pembangunan ekopelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, pada Majlis Penutup Seminar Geran Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan Taman Negeri Rompin dan Taman Negara Lubuk Yu 2026 di Hotel Grand Darulmakmur, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Roslan Rani dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Grippin Akeng.

Seminar selama dua hari itu menghimpunkan lebih 200 peserta termasuk penyelidik universiti tempatan yang membentangkan hasil kajian merangkumi aspek tumbuhan, kualiti air, batuan, hidupan liar, ikan dan pemetaan.

Majlis berkenaan turut menyaksikan peluncuran dua buku bertajuk In Cameron Highlands Enchanted Forests – The Awes of Alluring Wild Orchids dan Whispers Of The Mossy Forest – Nature’s Secrets From The Mist & Green Of Cameron Highlands.

Wan Rosdy berkata, penyelidikan di Taman Negeri Rompin dan Taman Negeri Lubuk Yu amat penting kerana kedua-dua kawasan itu mempunyai potensi besar dalam memperluas pengetahuan berkaitan biodiversiti, persekitaran fizikal serta pengurusan kawasan perlindungan.

Sehubungan itu, beliau berharap hasil kajian yang dibentangkan tidak sekadar menjadi perkongsian ilmu, sebaliknya diterjemahkan kepada cadangan tindakan praktikal yang boleh dimanfaatkan dalam pengurusan dan pemuliharaan kawasan berkenaan.

“Saya berharap hasil kajian yang dibentangkan dalam seminar ini tidak terhenti setakat perkongsian ilmu di dalam dewan ini sahaja, sebaliknya dapatan kajian perlu diteliti dan diterjemahkan kepada cadangan tindakan yang praktikal, bersesuaian dengan keperluan pengurusan di lapangan serta mengambil kira keutamaan pemuliharaan jangka panjang.

“Jabatan Perhutanan Negeri Pahang diharap dapat meneliti setiap dapatan kajian secara sistematik, mengenal pasti cadangan yang boleh dilaksanakan serta mengutamakan hasil yang berpotensi memberikan manfaat langsung kepada pengurusan Taman Negeri Rompin dan Taman Negeri Lubuk Yu,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here