Home Buletin Semasa DUA RAKAN DIDAKWA TIPU, GUNA DOKUMEN PALSU KURANGKAN CUKAI KASTAM

DUA RAKAN DIDAKWA TIPU, GUNA DOKUMEN PALSU KURANGKAN CUKAI KASTAM

PENANG: Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, masing-masing atas pertuduhan menipu dan menggunakan dokumen palsu bagi mengurangkan jumlah cukai kastam ke atas barangan import kosmetik milik sebuah syarikat pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Zul Akmal Ab Suhukor, 52, yang juga pengurus syarikat dan Sarudin Daud, 53, selaku eksekutif operasi syarikat, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, Zul Akmal didakwa memperdaya pengurus Hairos Destiny Sdn Bhd, Muhamad Aliff Syafi Irtiza, 26, supaya memindahkan RM13,000 daripada akaun syarikat itu ke akaun syarikat First Global Freight & Logistics miliknya.

Wang itu didakwa sebagai bayaran kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi tujuan mengurangkan jumlah cukai ke atas barangan import kosmetik milik Hairos Destiny Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Flexi-Van Logistics Sdn Bhd, No. 55-19F, Tingkat 19, Menara Northam, Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini, antara Ogos hingga September 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sarudin pula didakwa menggunakan dokumen palsu Borang Perisytiharan Barang-Barang Yang Diimport bertarikh 12 September 2024 dalam Sistem Maklumat Kastam JKDM.

Dokumen itu didakwa mengandungi maklumat kuantiti barangan import kosmetik milik Hairos Destiny Sdn Bhd yang tidak benar sehingga menyebabkan amaun cukai dijana berkurang daripada RM55,632.19 kepada RM25,850.15.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12 September 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atikah Ab Rashid, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam K. Mahendran dan M. Sharmila.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 14 Disember depan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here