Home Hiburan SHIHA SERAH SOAL JODOH KEPADA KETENTUAN ILAHI

SHIHA SERAH SOAL JODOH KEPADA KETENTUAN ILAHI

SHAH ALAM: Penyanyi Shiha Zikir, 39, memilih menyerahkan sepenuhnya urusan jodoh kepada ketentuan Allah SWT meskipun persoalan mengenai perkahwinan sering diajukan kepadanya sejak beberapa tahun lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Shiha atau nama sebenar, Nurshiha Mohd Zikir menganggap perjalanan hidup ketika ini sebagai rezeki besar kerana berpeluang memberi perhatian dan menjaga ibunya, Rohana Ibrahim, 68, yang berdepan masalah kesihatan.

“Saya seperti sudah takut untuk menjawab persoalan mengenai perkahwinan. Sebelum ini, saya pernah bercakap mengenai soal kahwin, tetapi jika sudah sampai masanya, saya akan maklumkan kepada semua.

“Kalaupun belum diberi peluang berkahwin, saya percaya ini adalah rezeki yang sangat besar kerana dapat meluangkan masa dan menjaga emak.

“Bukan bermakna selepas berkahwin saya tidak boleh menjaga emak, tetapi dari segi masa, pasti ada banyak tanggungjawab lain termasuk terhadap suami,” katanya.

Shiha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video lagu Teruskanlah, nyanyian artis di bawah naungan syarikat rakamannya, Shiha Zikir Empire, Hazreen Amreena di sini, semalam.

Dalam pada itu, Shiha meluahkan rasa syukur apabila ibunya tidak pernah memberikan tekanan atau mendesaknya supaya segera mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, dia mengakui ibunya tetap menyimpan harapan untuk melihatnya berkahwin, namun, mereka sepakat menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan takdir dan waktu.

“Kalau ikutkan, kebanyakan ibu di luar sana memang mahu anak mempercepatkan soal jodoh, cuma saya bersyukur kerana emak bukan seorang yang terlalu memaksa.

“Sebagai anak, saya rasa difahami dan hanya mengikut perjalanan hidup. Pesanan supaya berkahwin itu memang ada. Emak beritahu, kalau boleh, cepatkanlah.

“Tetapi kami percaya kepada waktu yang tepat. Kalau terlalu tergesa-gesa sedangkan perkara itu belum tiba pada waktu sesuai, tidak guna juga. Jadi, doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.

Mengulas pandangan segelintir pihak yang bersimpati kerana dia masih belum bertemu jodoh, Shiha berkata, dia tidak pernah berkecil hati atau tersinggung dengan tanggapan berkenaan.

“Apabila ada yang bersimpati kerana saya belum ada rezeki berkahwin, saya tidak melenting. Ini juga rezeki saya kerana belum berkahwin.

“Kita perlu mengubah cara berfikir. Hati akan berasa lebih lapang apabila kita percaya kepada Tuhan yang mengatur segala-galanya dengan begitu indah.

“Mungkin ilmu saya mengenai rumah tangga juga belum mencukupi, jadi banyak lagi yang perlu dipelajari. Mudah-mudahan apabila sampai waktunya nanti, semuanya dalam keadaan bersedia,” katanya – BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here