Home Buletin Semasa 156 ANGGOTA POLIS MARIN WILAYAH TIGA SIAP SIAGA HADAPI MONSUN TIMUR LAUT

156 ANGGOTA POLIS MARIN WILAYAH TIGA SIAP SIAGA HADAPI MONSUN TIMUR LAUT

KUANTAN: Seramai 156 anggota Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga disiapkan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang bermula sehingga Mac tahun depan, dengan tumpuan diberikan kepada operasi menyelamat dan bantuan kecemasan di kawasan berisiko banjir.

Kekuatan anggota itu membabitkan 15 pegawai kanan dan 141 pegawai rendah yang mempunyai kemahiran mengendalikan bot serta melaksanakan penugasan keselamatan di perairan, termasuk operasi menyelamat.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Polis Mohd Khairuddin Jamal, berkata pihaknya sudah mengambil langkah persediaan awal secara menyeluruh meliputi kekuatan sumber manusia, kesiapsiagaan aset, perancangan operasi dan logistik.

Menurutnya, penyelarasan bersama jabatan serta agensi penyelamat turut dilaksanakan bagi memastikan setiap tindakan dapat diselaraskan dengan pantas, teratur dan berkesan sepanjang tempoh monsun.

Katanya, penempatan anggota juga ditetapkan berdasarkan keutamaan serta tahap risiko di kawasan operasi, selain memastikan semua aset dan peralatan berada dalam keadaan baik serta boleh digunakan pada bila-bila masa.

“Pemeriksaan teknikal dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan enjin bot, sistem komunikasi, peralatan keselamatan dan kelengkapan menyelamat berada dalam keadaan sempurna agar perjalanan operasi tidak terjejas serta berada dalam pengurusan operasi yang stabil.

“Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga akan terus memberi keutamaan kepada tindakan menyelamat mangsa banjir, bantuan kepada pasukan penyelamat dalam aktiviti pemindahan mangsa, bantuan kecemasan serta penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas ke kawasan yang terputus hubungan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran dan Taklimat Khas Menghadapi Monsun Timur Laut, di sini semalam.

Mohd Khairuddin berkata, kekuatan 156 anggota dengan sokongan aset sedia ada menjadi asas penting bagi memastikan pasukan itu mampu melaksanakan tanggungjawab bantuan kecemasan serta operasi mencari dan menyelamat dengan berkesan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut, khususnya ketika melakukan aktiviti di perairan pantai timur.

“Monsun Timur Laut berpotensi menyebabkan peningkatan paras air sungai, banjir di kawasan rendah dan laut bergelora, sekali gus membahayakan aktiviti menangkap ikan di laut,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here