Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Hampir 7,000 doktor Malaysia yang menamatkan pengajian di universiti perubatan Rusia kini menjadi antara aset penting dalam memperkukuhkan sistem kesihatan negara.
Duta Besar Rusia ke Malaysia, Naiyl M Latypov berkata, graduan universiti Rusia memainkan peranan besar dalam sektor kesihatan Malaysia apabila sebahagian daripada mereka kini berkhidmat sebagai pakar perubatan, pakar bedah, pegawai perubatan, pengarah hospital serta memegang jawatan penting dalam bidang kesihatan.
Katanya, sumbangan berterusan alumni perubatan Rusia itu menjadi bukti hubungan pendidikan kedua-dua negara yang telah terjalin sejak beberapa dekad lalu.

“Saya amat menghargai kerja para doktor kerana saya sendiri berasal daripada keluarga doktor. Menjadi doktor memerlukan pengorbanan besar kerana tanggungjawabnya sangat tinggi,” katanya ketika berucap semasa mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Bukit Mertajam (HBM), yang kini telah berusia 136 tahun, hari ini.
Lawatan berkenaan mencerminkan hubungan kukuh Malaysia-Rusia khususnya dalam bidang pendidikan perubatan yang telah melahirkan ramai tenaga profesional kesihatan Malaysia.
Naiyl berkata, institusi pendidikan tinggi Rusia berbangga kerana dapat menyumbang kepada pembangunan perkhidmatan kesihatan Malaysia menerusi graduan yang kini berkhidmat di pelbagai peringkat sistem kesihatan negara.
Beliau turut berharap hubungan berkenaan dapat diperkukuhkan menerusi kerjasama lebih luas dalam bidang perubatan, penyelidikan, latihan profesional dan pertukaran kepakaran antara Malaysia dan Rusia.
Sementara itu, Pengarah HBM, Dr Prashant Subramanian sendiri merupakan antara graduan universiti perubatan Rusia selepas menamatkan pengajian di Akademi Perubatan Moscow I M Sechenov pada 2009.
HBM kini turut menempatkan lapan lagi doktor perubatan yang memperoleh ijazah daripada institusi pengajian tinggi di Rusia.
Di enam hospital kerajaan di Pulau Pinang iaitu Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya, Hospital Bukit Mertajam, Hospital Kepala Batas, Hospital Sungai Bakap dan Hospital Balik Pulau, seramai 76 pakar serta pegawai perubatan merupakan graduan daripada pelbagai universiti perubatan Rusia.
Dalam lawatan itu, Naiyl hadir bersama Konsul Kehormat Rusia di Pulau Pinang, Datuk Dr Teoh Seng Lee dan disambut Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Zulhizzam Abdullah; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Premalosini Ramanathan; Dr Prashant serta warga kerja HBM.
Dalam pada itu, Naiyl berkata Rusia turut mahu memperluaskan peluang pendidikan kepada pelajar Malaysia termasuk dalam bidang perubatan menerusi program biasiswa kerajaan Rusia.
Beliau berkata, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Rusia tahun depan, pihaknya akan berusaha meningkatkan peluang rakyat Malaysia melanjutkan pengajian di Rusia.
Katanya, kerajaan Rusia juga akan menyediakan 4,000 peluang biasiswa kepada pelajar antarabangsa dari seluruh dunia, dengan harapan lebih ramai rakyat Malaysia dapat memanfaatkan peluang berkenaan.
Beliau berkata, jumlah pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian perubatan di Rusia kini berkurangan kepada kira-kira 400 orang berbanding sekitar 600 orang ketika beliau mula memegang jawatan sebagai duta.
“Kita perlu melakukan sesuatu untuk menarik lebih ramai generasi muda memilih bidang perubatan,” katanya.
Beliau turut memuji pencapaian HBM di peringkat nasional dan antarabangsa yang mencerminkan komitmen hospital itu terhadap kecemerlangan perkhidmatan kesihatan serta kelestarian.
Antara pengiktirafan diterima HBM termasuk Hospital Pakar Minor Terbaik pada 2024, Hospital Paling Mampan di Asia menerusi Anugerah Pengurusan Hospital Asia (HMA) 2025 serta disenaraikan antara 250 Hospital Hijau Terbaik Dunia oleh Newsweek dan Statista pada 2026.
IMedikel TV






