Tehran: Pemimpin tertinggi Iran memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel bahawa sebarang ancaman serangan baharu akan dibalas dengan tindakan ketenteraan.
Memetik laporan Afp melalui Harian Metro, Ia susulan ancaman kedua-dua negara untuk menyambung semula serangan selepas pilihan raya penting, ketika kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya semula peperangan semakin meningkat.
Presiden Donald Trump memberi bayangan kemungkinan melancarkan tindakan ketenteraan baharu selepas AS mengadakan pilihan raya pertengahan penggal pada awal minggu depan.
Bagaimanapun, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata pada Sabtu: “Jika terdapat penyelesaian diplomatik, kami terbuka kepadanya.”
Di Israel pula, yang baru selesai mengadakan pilihan raya umum, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyifatkan situasi itu sebagai peluang bersejarah yang hanya muncul sekali untuk menggulingkan kerajaan Iran.
Pilihan raya di kedua-dua negara itu boleh menentukan hala tuju konflik berkenaan, dengan Israel mengadakan pengundian pada Selasa lalu tetapi masih belum membentuk kerajaan baharu.
“Sebarang tahap atau bentuk ancaman mesti dibalas dengan tindak balas segera, berimpak besar dan tanpa batasan geografi,” kata Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei kepada komander kanan tentera, menurut satu kenyataan.
Khamenei turut mengarahkan komander tentera mengemas kini senarai sasaran Iran dengan memasukkan semua jenis aset ketara dan tidak ketara milik musuh Amerika-Zionis.
Iran sebelum ini memberi amaran akan mempertimbangkan tindakan memutuskan kabel dasar laut di Selat Hormuz.
Pertemuan itu adalah yang pertama dilaporkan antara Khamenei dan pegawai tertinggi tentera.
Pemimpin tertinggi itu tidak pernah dilihat di khalayak ramai sejak sebelum mengambil alih kepimpinan pada Mac lalu, selepas bapanya, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam serangan AS-Israel.
Rubio memberi amaran bahawa “kami mampu mencapai objektif ketenteraan jika memilih untuk berbuat demikian”, sambil menambah Trump masih belum membuat keputusan mengenai sebarang serangan baharu.
Sejak pengeboman awal AS-Israel pada Februari lalu, rakyat biasa Iran dibiarkan dalam keadaan tidak menentu sejak setahun lalu, kata Fariba, seorang suri rumah di Tehran kepada AFP.
Bagaimanapun, beberapa penduduk lain di ibu negara Iran itu tidak mengendahkan kemungkinan konflik berskala penuh kembali tercetus.
“Kami tidak takut perang sekali lagi,” kata Ebrahim, seorang jurujual berusia lingkungan 40-an.
“Kami sudah berperang selama 48 tahun,” katanya
Sejak perang tercetus, Tehran mengehadkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, laluan yang lazimnya membawa kira-kira satu perlima daripada penggunaan minyak global.
Sebuah kapal yang melalui selat itu terkena periuk api dan terbakar, menurut laporan televisyen kerajaan Iran pada Sabtu.
Pada Jumaat, Pengawal Revolusi Iran memaklumkan tiga kapal tangki minyak ditahan selepas berdepan insiden yang tidak diperincikan atau terkena periuk api.
Sekatan itu menyebabkan harga tenaga global melonjak, sekali gus menjadikan perang berkenaan tidak popular dalam kalangan rakyat AS menjelang pilihan raya Kongres pertengahan penggal pada Selasa.
Kemenangan Parti Demokrat yang menentang Trump berpotensi mengehadkan keupayaan beliau melaksanakan dasar, pada tahap tertentu.
Pengundian di Israel menyaksikan kem politik Netanyahu memperoleh kerusi terbanyak di parlimen tetapi masih gagal meraih majoriti, sekali gus menyebabkan pembentukan kerajaan baharu belum jelas.
Perang bermula pada 28 Februari lalu menerusi serangan AS-Israel ke atas Iran.
Republik Islam itu segera bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap aset Amerika di beberapa negara sekitar rantau berkenaan.
Usaha diplomatik baharu sedang dijalankan bagi mengelakkan konflik kembali tercetus.
Pengantara dari Qatar tiba di Tehran pada Jumaat, manakala Naib Presiden AS, JD Vance menghantar surat kepada ketua keselamatan Iran, Mohsen Rezaei.
“Saya sudah membaca surat itu,” kata Rezaei, ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, dalam satu rakaman video yang disiarkan televisyen Iran.
“Saya masih belum memberikan maklum balas. Nada mereka sudah berubah sepenuhnya,” katanya sambil menyifatkannya sebagai petanda baik.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kandungan surat berkenaan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, tiada perancangan ketika ini untuk mengadakan pertemuan dengan pegawai AS.
Syarat Iran jelas dan rundingan mengenainya masih diteruskan dalam kalangan pengantara,” katanya dalam temu bual bersama Al Jazeera, menurut agensi berita kerajaan IRNA.
Rezaei menegaskan Iran akan meneruskan sekatan di Selat Hormuz sehingga tuntutannya dipenuhi, termasuk pembebasan aset negara yang dibekukan.
“Kami mahu perang ini berakhir dengan cara yang memastikan tiada sesiapa berani menyerang Iran lagi,” katanya.
Qatar dan Pakistan bertindak sebagai pengantara antara pihak yang berperang, namun rundingan setakat ini masih belum menghasilkan perjanjian berkekalan.
The Wall Street Journal melaporkan pada Rabu bahawa Vance menghantar surat kepada ketua keselamatan Iran atas arahan Trump bagi menghidupkan semula rundingan dan mengelakkan serangan AS selanjutnya.
Pihak Iran bagaimanapun terus mengeluarkan amaran keras terhadap sebarang serangan baharu pada Sabtu.
Jurucakap tentera Iran, Mohammad Akraminia berkata, sebarang penyambungan semula permusuhan hanya akan meluaskan skop peperangan.
“Api peperangan pasti akan merebak ke kawasan geografi yang jauh lebih luas,” katanya menerusi media sosial.
Araghchi pula memberi amaran menerusi platform X bahawa selepas ini tiada lagi garis merah.-AFP, HMetro Online-.
IMedikelTV






