Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) membuktikan keunggulan apabila muncul juara kategori berpasukan Kejohanan Boling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (KPSSM) 2026 selepas mencatatkan 3,436 jatuhan pin.
Kejohanan yang berlangsung di Premium Lane Kuantan Plaza, di sini kelmarin, menyaksikan JPNT mengetepikan 10 pasukan lain dalam saingan yang menghimpunkan lebih 80 pemain.
Pasukan tuan rumah, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menduduki tempat kedua dengan 3,153 jatuhan pin, manakala Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) di tempat ketiga dengan 3,041 jatuhan pin.

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) pula berada di kedudukan keempat selepas merekodkan 2,981 jatuhan pin.
Kemenangan itu melayakkan JPNT membawa pulang piala pusingan serta wang tunai RM1,000, manakala naib johan menerima RM700 dan tempat ketiga RM400.
Dalam kategori individu lelaki, Nik Ami Zamri Mat Ramli dari JPNK muncul juara, diikuti Muhammad Said Abd Hakim (JPNT) di tempat kedua dan Hingshamuddin Mat Ali (JPNP) di tempat ketiga.
Bagi kategori individu wanita, Yusmawati Yusof dari JPNT merangkul kejuaraan, manakala Maziah Mahtar (JPNP) dan Nuraimi Bahadun (JPNK) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Kategori VIP pula menyaksikan Azni Rahman A Wahid yang mewakili Jabatan Perhutanan Negeri Perak muncul juara, diikuti Radhuan Ramli dan Ramli Mat, masing-masing dari JPNT.
Nik Ami Zamri turut dinobatkan sebagai pemain terbaik lelaki selepas mencatatkan 230 jatuhan pin, manakala Yusmawati dari JPNT merekodkan 253 jatuhan pin dalam kategori wanita.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Radhi Chu Abdullah, yang turut mengambil bahagian mewakili pasukan Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia (IPPSM).
Kejohanan itu turut diserikan dengan pertandingan kategori ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Mohd Radhi berkata, penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga jabatan perhutanan, malah menyemarakkan semangat kesukanan menerusi penyertaan kakitangan daripada pelbagai peringkat.
“Pada masa yang sama, kejohanan ini turut menjadi gelanggang untuk mencungkil bakat baharu selain medan pertemuan memburu kejayaan dan mengharumkan imej pasukan masing-masing dalam kategori berpasukan serta individu.
“Lebih banyak acara sukan akan diadakan pada masa akan datang sebagai usaha membudayakan sukan dalam jabatan di semua peringkat,” katanya.
IMedikel TV






