Home Luar Negara RATUSAN PENUNJUK PERASAAN BERHIMPUN DI JAKARTA, PROTES KRISIS JEREBU, DASAR PENTADBIRAN

RATUSAN PENUNJUK PERASAAN BERHIMPUN DI JAKARTA, PROTES KRISIS JEREBU, DASAR PENTADBIRAN

Jakarta: Ratusan pelajar dan kumpulan masyarakat mengadakan bantahan di beberapa bandar di Indonesia pada Rabu, termasuk ibu negara Jakarta, bagi membantah dasar Presiden Prabowo Subianto, termasuk pengendalian kebakaran hutan yang masih berlaku.

Memetik laporan Reuters melalui Harian Metro, Kebakaran yang semakin buruk akibat corak cuaca El Niño, yang menyebabkan tanah gambut mudah terbakar, menjadikan Indonesia berdepan kebakaran hutan paling buruk dalam tempoh 11 tahun, sekali gus mencetuskan jerebu, meningkatkan kes penyakit pernafasan dan mencemarkan udara di negara jiran, Malaysia dan Singapura.

Penunjuk perasaan berhimpun di sebuah bulatan mercu tanda di Jakarta, dengan sebahagian daripada mereka memakai topeng gas serta membawa sepanduk membantah kebakaran hutan dan mendesak kerajaan mengisytiharkan kebakaran itu sebagai bencana nasional.

Ada antara mereka membawa sepanduk bertulis “Jika kami terbakar, kamu turut terbakar bersama kami” dan menunjukkan isyarat tiga jari sebagai simbol bantahan, merujuk kepada filem The Hunger Games yang diterima pakai sebagai lambang oleh pelbagai gerakan bantahan golongan muda di seluruh dunia.

Anggi Aurien, 28, memakai topeng gas selama tiga jam di lokasi berkenaan ketika membantah kebakaran hutan yang mengorbankan hidupan liar. 

“Haiwan tidak mempunyai fikiran sendiri. Jika kita membunuh mereka, apa bezanya kita dengan mereka?” katanya.

Sepanduk lain memaparkan gambar orang utan, antara haiwan yang paling terjejas akibat kebakaran itu, selain replika kadbod Prabowo.

Pelajar lain, termasuk dari Universiti Indonesia, dihalang oleh puluhan anggota polis dan tentera sehingga mencetuskan beberapa insiden pergelutan.

“Revolusi! Revolusi!” laung penunjuk perasaan.

Ezra Al Barra, pelajar Universiti Padjadjaran, berkata kebakaran itu mencerminkan “kemarahan bersama kita”, sambil menambah pelajar dari wilayah lain turut datang ke Jakarta untuk menyertai bantahan.

Pelajar turut mengadakan perhimpunan di Makassar, Sulawesi Selatan, dan Bandung, Jawa Barat, dengan tuntutan serupa. Puluhan daripada mereka yang menaiki motosikal memenuhi jalan raya utama.

Penunjuk perasaan turut mendesak kerajaan menghentikan perbelanjaan bagi program popular yang bertujuan meraih sokongan rakyat, termasuk skim makanan percuma Prabowo, selain mengemukakan tuntutan lain.

Ketua pejabat komunikasi kerajaan, Syahganda Nainggolan, menggesa orang ramai bertenang, namun berkata kerajaan mengalu-alukan bantahan itu dan terbuka menerima pandangan.

Bantahan itu, adalah kali kedua dalam tempoh seminggu, berlangsung ketika kadar kelulusan terhadap Prabowo menunjukkan penurunan berterusan sejak akhir tahun lalu, menurut tinjauan oleh Saiful Mujani Research and Consulting, ketika beliau memasuki tahun kedua sebagai presiden.

Indonesia telah mendakwa beberapa syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kebakaran itu dan mencuba kaedah pengubahsuaian cuaca bagi menghasilkan hujan.

Bantahan besar terakhir di Indonesia berlangsung pada Ogos, dengan ratusan individu ditahan.

Pada 2025, bantahan selama beberapa minggu tercetus di seluruh Indonesia susulan kematian seorang pemandu teksi motosikal akibat tindakan polis. Beberapa lagi individu turut terbunuh ketika rusuhan berlaku. – REUTERS, HMETRO –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here