Home Buletin Semasa LATIHAN MENYELAMAT DI AIR, PENGENDALIAN ENJIN BOT PERSEDIAAN HADAPI MTL DI RAUB

LATIHAN MENYELAMAT DI AIR, PENGENDALIAN ENJIN BOT PERSEDIAAN HADAPI MTL DI RAUB

RAUB: Latihan menyelamat di air dan pengendalian enjin bot bersama agensi serta komuniti setempat diperkukuh sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027, khususnya bagi memastikan operasi menyelamat mangsa banjir dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Pegawai Daerah Bentong, Mohammad Shahid Ismail, berkata latihan itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan agensi dan komuniti dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir, terutama membabitkan kemahiran menyelamat di air dan pengendalian enjin bot.

Menurutnya, kemahiran berkenaan penting bagi melancarkan operasi menyelamat penduduk yang terjejas akibat banjir, terputus hubungan dan tanah runtuh.

Katanya, kerjasama antara agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta komuniti setempat amat penting bagi memastikan tindakan menyelamat dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

“Hampir setiap tahun menjelang Monsun Timur Laut berlaku di negara ini, latihan menyelamat dan pengendalian enjin bot diadakan sebagai usaha menambah kemahiran seterusnya membentuk kerjasama erat dalam kalangan agensi terbabit.

“Menerusi program yang diadakan, dapat dibentuk kerjasama berpasukan dalam kalangan semua pihak dengan membawa misi membantu mangsa banjir di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Latihan Menyelamat di Air dan Pengendalian Enjin Bot Bersama Agensi dan Komuniti sebagai Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027 di Empang Klau, di sini semalam.

Mohammad Shahid berkata, latihan itu diharap dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta memperkukuh kerjasama semua pihak dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko dinaiki air supaya segera berpindah apabila diarahkan pihak berkuasa, terutama ketika hujan lebat berterusan.

Menurutnya, tindakan menunggu hingga saat akhir untuk berpindah boleh mengundang bahaya, khususnya apabila paras air meningkat secara mendadak pada waktu malam sehingga menyebabkan arus deras.

Katanya, keadaan itu turut boleh menyukarkan operasi pemindahan, terutama apabila kemudahan logistik termasuk bot adalah terhad.

“Saya difahamkan semua pusat pemindahan sementara (PPS) di bawah kawalan Jabatan Kebajikan Masyarakat kini berada dalam keadaan bersedia menerima mangsa banjir kerana hujan kini mula berlaku di beberapa kawasan.

“Antara tempat yang dijadikan PPS di daerah ini ialah dewan orang ramai, sekolah dan balai raya,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here