Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUALA LIPIS: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM3.78 juta bagi menyediakan 332,906 pek bekalan makanan kering untuk ditempatkan di 167 pangkalan hadapan di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata persediaan awal itu dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan bekalan makanan asas dapat disalurkan segera kepada penduduk sekiranya berlaku banjir atau bencana secara tiba-tiba.
Menurutnya, bekalan seberat keseluruhan 225.11 tan itu akan dihantar secara berperingkat ke 167 pangkalan hadapan di 11 daerah di negeri ini.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang bertindak sebagai penyelaras yang bertanggungjawab menyediakan bekalan makanan kering, termasuk urusan logistik, pengangkutan dan petugas.
“Bekalan makanan kering membabitkan sembilan jenis barangan asas seperti beras super import lima kilogram, gula pasir satu kilogram, minyak masak dua kilogram, garam putih beriodin 400 gram, kopi-O, teh uncang, sardin, kari ayam dan biskut campuran.
“Pemilihan barangan dibuat dengan mengambil kira aspek ketahanan dan tempoh luput bagi memastikan bekalan berkenaan boleh disimpan selama beberapa bulan sebelum digunakan ketika diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Penghantaran Bekalan Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan Peringkat Negeri Pahang bagi MTL 2026/2027 di Jelai Inn, Sungai Koyan, di sini semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Pahang, Datuk Sabariah Saidan; dan Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad.
Wan Rosdy berkata, proses penghantaran bekalan makanan kering ke semua pangkalan hadapan dijadualkan mengambil masa dua minggu, bermula 27 Oktober hingga 14 November ini.
Katanya, penyelarasan kesiapsiagaan bencana diketuai Setiausaha Kerajaan Pahang bersama jawatankuasa yang dilantik bagi memastikan semua pihak bersedia menghadapi MTL.
“Di peringkat daerah, saya berharap pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana berada dalam keadaan bersiap siaga dan membuat persiapan sewajarnya untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir.
“Kerjasama beberapa agensi kerajaan diharap dapat melancarkan lagi usaha membantu mangsa banjir, termasuk bencana yang berlaku setiap kali musim tengkujuh,” katanya.
IMedikelTV






