Kuala Lumpur : Pelawak Mamat Sepah tampil memohon maaf secara terbuka kepada orang ramai berhubung konflik yang melanda antara dua sahabatnya iaitu Jep Sepahtu dan Shuib Sepahtu menerusi satu siaran langsung di aplikasi TikTok, baru-baru ini.
Memetik laporan Harian Metro, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Noor Haji Murad, 41, memohon agar orang ramai menghentikan tindakan menghantar mesej peribadi (DM) yang berunsur negatif kepadanya.
“Saya dengan rendah hati dan ikhlas memohon maaf kepada semua. Jadi, yang mana sentiasa masih lagi menghantar DM dengan kata-kata yang tak berapa enak untuk didengar dan dibaca, saya mohonlah untuk kita berhentikan sama-sama.
“Kita sama-sama jadi manusia yang ada kesedaran. Macam saya, saya dah tersedar akan kesilapan saya, jadi kita sama-samalah untuk perbaiki diri kita.
“Semoga Allah hindarkan kita daripada membuat kesilapan dan perkara yang salah sehingga mendapat kecaman daripada orang di luar sana,” katanya dalam satu sesi siaran langsung yang tular di TikTok.
Menurut Mamat, dia tidak pernah menyimpan dendam terhadap kecaman yang dilemparkan kepadanya sepanjang melakukan siaran langsung, malah mengakui kekhilafan itu berpunca daripada tindakannya sendiri.
“Saya tak marah kepada anda semua yang DM saya, yang maki saya sepanjang saya buat sesi siaran langsung, yang kata saya batu api. Betul, kalau tengok dalam video itu sayalah batu api sebenarnya.
“Saya yang ‘spark’ (mencetuskan) cerita itu sehingga Shuib pun terikut-ikut sekali. Sebenarnya Shuib tiada salah apa pun, keluarga Shuib semua tak salah,” katanya lagi.
Mamat berkata, keputusan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka itu dibuat atas kesedaran sendiri selepas mengambil masa selama tiga minggu untuk berfikir, tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
“Ini adalah keikhlasan daripada hati saya selepas tiga minggu saya berfikir.
“Saya cakap mungkin hari ini (kelmarin) adalah waktu yang saya ada lapang sikit dan waktu yang sesuai untuk saya dedahkan serta luahkan kepada semua pengikut Jep Sepahtu,” kongsinya.
Dalam pada itu, Mamat turut menegaskan bahawa setiap individu perlu bergerak ke hadapan dan berharap permohonan maaf itu dapat menjernihkan keadaan.
Terdahulu, Shuib tampil memohon maaf kepada Jep pada 15 Oktober lalu atas sindirian yang dilakukan ketika mengendalikan sebuah audiosiar, Dol’s Podcast bersama Mamat.
Sebelum ini, Jep tampil menyuarakan rasa kurang senang terhadap tindakan Shuib yang didakwa masih membangkitkan isu persahabatan mereka menerusi sebuah audiosiar.
Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin mengakui sudah memohon maaf atas perkara yang berlaku sebelum ini, namun meluahkan rasa jemu apabila isu berkenaan terus diperkatakan secara terbuka.
Bagaimanapun, pada hari yang sama Shuib memohon maaf kepadanya, Jep telah pun memfailkan saman fitnah terhadap Shuib.-HMetro Online-.
IMedikel TV






