PUTRAJAYA: Pelakon, Noorkhiriah menafikan dakwaan dia ‘menghilang’ atau berdepan masalah kesihatan, sebaliknya membuat keputusan menutup akaun Instagram kerana mahu memberi fokus kepada keluarga.
Noorkhiriah atau nama penuhnya Noorkhiriah Ahmad Shapie, 50, berkata dakwaan kononnya dia kini berdepan masalah kesihatan adalah tidak benar sama sekali.
“Alhamdulillah saya sihat. Kalau pun saya sakit, tolonglah doakan. Sebagai sesama Muslim, kita saling mendoakan.
“Sebenarnya saya ada sahaja dan tidak ke mana-mana. Cuma pada tahun 2016 semasa berada di hadapan Kaabah, saya pernah berdoa kepada Allah bahawa jika boleh, saya tidak mahu aktif di media sosial.
“Selepas 10 tahun, barulah doa itu termakbul dan akaun (media sosial) saya tidak aktif. Saya bukannya menghilang, saya masih ada,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai keputusan menyahaktifkan akaun Instagram, Noorkhiriah menjelaskan dia mahu memberikan lebih perhatian kepada anak-anak yang sedang membesar.
“Anak-anak masih kecil dan perlukan perhatian. Apabila sibuk dengan Instagram, kita boleh jadi leka.
“Bukanlah sampai terabai, cuma pada usia sekarang saya mahu memperlahankan sedikit rentak. Namun, saya masih berada dalam industri dan terus bekerja sebagai pelakon,” katanya.
Dalam pada itu, Pelakon Wanita Drama TV Terbaik ASA2026 menerusi drama Seribu Tahun ini turut memohon maaf kepada rakan-rakan media dan kenalan industri yang gagal menghubunginya sebelum ini.
“Minta maaf sangat-sangat kepada rakan media yang menghantar mesej. Saya tidak membalasnya waktu itu kerana belum ada jawapan yang sesuai untuk diberikan.
“Saya tidak memberikan sebarang maklum balas sebelum ini kerana tidak mahu memburukkan keadaan,” katanya.
Ditanya mengenai kebimbangan sekiranya sukar mendapat tawaran berlakon ekoran tiada platform media sosial, Noorkhiriah berpegang teguh kepada konsep rezeki.
“Rezeki itu Allah yang pegang dan berikan. Kalau mereka mahu mencari saya, pasti ada jalannya. Apabila satu pintu tertutup, 10 pintu lain akan terbuka,” katanya.
Malah, dia turut memohon peminat mendoakan kelancaran projek terbaharunya yang bakal kembali ke set penggambaran filem bersama penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, tidak lama lagi. – HMetro Online –
IMedikel TV






