Home Buletin Semasa KEDUDUKAN SUHAILY DITENTUKAN SELEPAS PERBINCANGAN – SAIFUDDIN

KEDUDUKAN SUHAILY DITENTUKAN SELEPAS PERBINCANGAN – SAIFUDDIN

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan urusan berkaitan kedudukan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Ketua Setiausaha KDN dan Ketua Setiausaha Negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika ini perbincangan antara mereka sedang berjalan.

“Ya, hal itu sedang diuruskan antara Ketua Setiausaha saya dengan Ketua Setiausaha Negara.

“Sebab pentadbiran awam dia ada semua apa nama, peraturan bagi menguruskan keadaan ini sendiri”, katanya ketika mengulas kedudukan Suhaily yang sedang berdepan pertuduhan Mahkamah Majistret Sepang pada Rabu lalu atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas dua anggota polis.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) Ke-78 dan Peluncuran Kampung Angkat Madani (KAM) Berserta Peluncuran Sekolah Angkat Madani (SAM) di Balai Raya Kampung Melayu Sedenak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saifudin menerima teguran yang disampaikan Ahli Parlimen Pembangkang yang mendakwa dirinya gagal menjadi pendamai berkaitan isu berkaitan Suhaily dan anggotanya.

Bagaimanapun, beliau turut mempersoalkan kemampuan pemimpin pembangkang memainkan peranan sebagai pendamai apabila parti mereka sendiri berdepan perpecahan, termasuk konflik antara kumpulan yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Saya sangat berjiwa besar menyambut baik teguran, terutama teguran datang daripada Ahli Parlimen Pembangkang yang parti dia pun berpecah, berderai sebab kegagalan dia untuk menjadi pendamai.

“Sementara saya berjiwa besar menyambut teguran dia, saya pun melahirkan kekesalan kerana dia pun gagal memainkan peranan untuk mendamaikan kumpulan politik yang bertelagah dalam parti sendiri,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here