Home Buletin Semasa POLIS PAHANG TUMPASKAN SINDIKET 12 WARGA ASING LAKUKAN PENIPUAN DALAM TALIAN

POLIS PAHANG TUMPASKAN SINDIKET 12 WARGA ASING LAKUKAN PENIPUAN DALAM TALIAN

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang menahan 12 individu yang dipercayai terbabit dengan aktiviti penipuan dalam talian (callingcentre) di daerah ini, Selasa lalu.

Serbuan turut disertai Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Kuantan dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang dilakukan selepas mendapat maklumat berkaitan kegiatan itu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki warga China, seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Myanmar, berusia antara 21 hingga 35 tahun.

Katanya, bertindak atas maklumat, pasukan risikan operasi JSJK Pahang menjalankan pemantauan di sebuah pusat peranginan di Sungai Lembing dan menahan seorang lelaki warga China berusia 35 tahun ketika memasuki kawasan premis terbabit.

“Hasil maklumat yang diperoleh daripada tangkapan itu, pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan di lima alamat sekitar daerah ini dan berjaya menahan 11 individu.

“Siasatan mendapati 12 warga asing terbabit tidak mempunyai rekod jenayah berdasarkan semakan awal,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Beliau menambah, hasil pemeriksaan dan analisis barang kes mendapati sindiket terbabit dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari China dan Eropah.

Azry Akmar berkata, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sebagai khidmat pelanggan menggunakan satu aplikasi pelaburan dalam talian untuk memperdayakan mangsa menyertai pelaburan yang tidak wujud dengan menjanjikan pulangan lumayan.

Tambahnya lagi, semakan sejarah komunikasi melalui aplikasi Telegram dan Meta Business turut menemukan perbualan yang menunjukkan hubungan antara sindiket dengan mangsa bagi menawarkan pelaburan melalui aplikasi terbabit.

“Siasatan awal turut mendapati sindiket menggunakan talian internet tempatan dan dipercayai beroperasi di Malaysia selama kira-kira dua bulan.

“Dalam serbuan itu, 14 telefon bimbit, tujuh komputer, sebuah komputer riba, dua unit router Wi-Fi, sebuah kenderaan serta satu unit alat kawalan jauh kenderaan yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM215,000 dirampas,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti mangsa, jumlah kerugian sebenar serta rangkaian sindiket yang terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120(B) Kanun Keseksaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here