Kuala Lumpur: ‘Menua Bersama’ menjadi tema hantaran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada isterinya, Bella Astillah.
Memetik laporan Harian Metro, Itu keunikan majlis pernikahan Syed Saddiq, 34, dan Bella Astillah, 32, yang berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank, di sini, hari ini.
Hantaran Syed Saddiq itu mencuri tumpuan peminat kerana disifatkan amat berbeza berbanding dibuat oleh pasangan lain termasuk golongan selebriti.
Jika mereka sering mempamerkan barangan mewah berjenama, Syed Saddiq memilih pendekatan yang lebih bermakna dan berwawasan.
Antara hantaran Syed Saddiq yang mencuri perhatian ialah pakej melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Komunikasi di Taylors University dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM100,000.
Bukan hanya itu, insurans kesihatan, nyawa serta penyakit kritikal kepada Bella, Ayden dan Ara selain pelaburan emas turut dijadikan hantaran.
Sementara itu, gim keluarga yang dibina khas di kediaman Syed Saddiq dengan set kelengkapan istimewa iaitu kerusi urut buat Bella, Ayden dan Ara serta kedua ibu bapa Bella dan Syed Saddiq.
Malah, Syed Saddiq turut memberi hantaran basikal buat Bella yang gemar melakukan aktiviti berbasikal.
Pasangan itu turut menerima kejutan apabila menerima tajaan menunaikan umrah bersama kasut dan beg tangan.
Dalam pada itu, Bella membalas dengan sembilan hantaran seperti sebentuk cincin, buku dan emas.
Pemberian ini dilihat sebagai satu mesej jelas mengenai kesungguhan Syed Saddiq untuk memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai pasangan hidup, malah sebagai pelindung masa depan keluarga kecil Bella.
Terdahulu, dengan sekali lafaz, Ahli Parlimen Muar itu sah bergelar suami kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah tepat jam 10.41 pagi tadi.
Mempelai itu dinikahkan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mewakili bapa pengantin perempuan, Awang Astillah Dullah.-HMetro Online-.
IMedikel TV






