Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BENTONG: Kerajaan Pahang sentiasa memberi perhatian serius terhadap pengurusan sumber hutan dengan berlandaskan prinsip Pengurusan Hutan Secara Mampan atau Sustainable Forest Management (SFM).
Kelestarian hutan diterjemahkan jelas membabitkan pengurusan yang berintegriti, pemantauan berterusan, keputusan berasaskan sains serta tindakan yang konsisten di lapangan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keseimbangan kepentingan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial sentiasa diberi perhatian yang serius.
Menurutnya, prinsip kerajaan jelas iaitu gunakan secara bijaksana dan mengurus secara bertanggungjawab serta pelihara untuk generasi akan datang.
Katanya, perubahan iklim, peningkatan suhu, kejadian cuaca ekstrem, kebakaran hutan, kehilangan biodiversiti, kemerosotan ekosistem serta perubahan guna tanah merupakan antara cabaran yang semakin kompleks.
“Cabaran ini tidak boleh kita hadapi dengan pendekatan lama semata-mata, ilmu yang lebih kukuh, teknologi yang lebih tepat dan inovasi lebih berani boleh diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar di lapangan.
“Justeru, kerajaan negeri mengiktiraf kepentingan penyelidikan dan inovasi sebagai sebahagian daripada asas pengurusan hutan moden,” katanya pada Majlis Perasmian International Conference on Tropical forest Management and Sustainability Tropforest 2026 di Swiss Garden Hotel Genting Highlands, di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar.
Hadir sama Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Mohd. Radhi Chu Abdullah dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Grippin Akeng.
Beliau berkata, setinggi penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM) atas inisiatif menganjurkan persidangan yang amat penting dan signifikan ini.
Katanya, teknologi seperti penderiaan jauh, Sistem Maklumat Geografi (GIS), LiDAR, kecerdasan buatan (AI), analisis data dan teknologi digital mempunyai potensi besar untuk memperkukuh pemantauan, inventori, perancangan dan pengurusan sumber hutan.
“Kepada penyelidik dan ahli akademik yang menyertai prigram ini saya menyeru agar penyelidikan yang dijalankan tidak hanya berhenti di peringkat penerbitan ilmiah, sebaliknya terus dibawa ke lapangan untuk menyelesaikan permasalahan sebenar yang dihadapi oleh pengurus hutan.
“Agensi kerajaan dan pemain industri pula, manfaatkanlah persidangan ini untuk membina jaringan, berkongsi pengalaman dan mengenal pasti peluang kerjasama yang boleh memberikan impak jangka panjang,”katanya.
IMedikel TV






