Oleh: Wartawan IMedikel TV
BATU PAHAT: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menziarahi keluarga Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 yang ditemui maut di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, pada Sabtu lalu.
Raja Zarith Sofiah berkenan menyantuni keluarga Allahyarhamah di kediaman mereka di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, di sini, hari ini.
Turut mengiringi Raja Zarith Sofiah ialah Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Pertemuan itu dimulakan dengan bacaan surah Yasin dan tahlil yang dipimpin Kadi Daerah Batu Pahat, Mohd Fauzi Bachok.
Dalam pertemuan itu, Raja Zarith Sofiah turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi baginda bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga Allahyarhamah.
Raja Zarith Sofiah turut menyampaikan kata-kata semangat kepada bapa mangsa, Mohd Khairool Faisal Khyar, dan neneknya, Jameyah Rabani.
Pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu mencerminkan keprihatinan Raja Zarith Sofiah terhadap keluarga Allahyarhamah yang sedang melalui saat sukar susulan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Bapa arwah, Mohd Khairool Faisal Khyar, 42 menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan dan sokongan yang ditunjukkan Raja Zarith Sofiah.
Katanya berharap kerajaan mengambil langkah memperkukuh aspek keselamatan di sekolah susulan kematian anaknya.
“Kata-kata semangat yang disampaikan Raja Zarith Sofiah sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada keluarganya ketika mereka masih berdepan kesedihan akibat kehilangan Irene Sofiya.
“Baginda sangat prihatin dan kami amat menghargai segala yang disampaikan kepada keluarga. Baginda menasihatkan kami supaya bersabar dengan apa yang berlaku,”katanya.
Mohd Khairool turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas sokongan, termasuk mesej kata-kata semangat yang diterima susulan kematian Irene Sofiya.
“Saya sangat bersyukur dan menghargai semua sokongan yang diberikan.
“Saya berharap pada masa akan datang, perkara seperti ini tidak berlaku kepada anak orang lain. Saya harap perkara ini dapat ditangani dan diselesaikan,” katanya.
Sabtu lalu, Irene Sofiya ditemukan nenek dan rakannya dalam keadaan lemah dan berlumuran darah di dalam dewan sebuah sekolah di Yong Peng, sebelum disahkan maut tidak lama kemudian.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kira-kira pukul 7 malam hari sama di sekitar Pekan Yong Peng.
Remaja terbabit yang juga rakan sekelasnya kini direman sehingga Jumaat depan bagu membantu siasatan dibawah Seksyen 302 kanun keseksaan.
IMedikel TV






