Home Buletin Semasa FAMA SASAR 4,457 JUALAN AGRO MADANI SELURUH NEGARA TAHUN INI

FAMA SASAR 4,457 JUALAN AGRO MADANI SELURUH NEGARA TAHUN INI

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

ROMPIN: Sebanyak 3,008 lokasi program Jualan Agro MADANI (JAM) telah diadakan di seluruh negara dengan sasaran 4,457 program dapat diadakan tahun ini.

Pelaksanaan program ini merekodkan nilai jualan berjumlah RM70.45 juta dan turut memberi penjimatan kepada pengguna dianggarkan sebanyak RM22.56 juta.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Faisal Iswardi Ismail berkata, program Jualan Agro MADANI membuktikan keberkesanannya sebagai inisiatif berimpak tinggi untuk rakyat.

Katanya, program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) membabitkan tiga agensinya seperti FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bertujuan memastikan bekalan makanan segar yang mencukupi dan mampu milik.

Beliau berkata selain dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat melalui pendekatan jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna.

“Dari aspek pembangunan ekonomi agro, program ini telah memberi manfaat secara langsung kepada 2,563 usahawan, merangkumi petani, penternak dan pengusaha industri makanan asas tani di seluruh negara.

“Sambutan orang ramai juga amat menggalakkan dengan jumlah pengunjung mencecah 75,621, sekali gus memperkukuhkan peranan FAMA sebagai peneraju pemasaran hasil pertanian dan agromakanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jualan Agro Madani Mega@ Rompin di Pantai Hiburan, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah FAMA Pahang, Rashiha Mamat.

Potongan harga sehingga 30 peratus pelbagai produk agromakanan dan jualan Kombo Madani disediakan sempena program jualan Agro Madani selama tiga hari berakhir hari ini.

Sementara itu, Rashiha berkata, dalam tempoh sembilan tahun ini program Jualan Agro MADANI FAMA Pahang telah merekodkan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM2.62 juta.

Katanya, pada program Jualan Agro MADANI di Rompin kali ini dijangka menarik kehadiran kira-kira 25,000 pengunjung dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM500,000.

“Program ini dapat memberi manfaat kepada 40,000 isi rumah, seramai 70 usahawan dan pempamer ini merupakan platform jualan produk agromakanan dari pelbagai komoditi seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ayam, daging, produk Industri Makanan dan Asas Tani.

“Tawaran harga lebih jimat sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran perlu direbut pengguna yang berkunjung pada program kali ini,” katanya.

Jualan Kombo MADANI, jualan istimewa produk segar terpilih, anak pokok percuma, kempen makan buah-buahan tempatan, jualan makanan popular dan viral antara aktiviti diadakan Jualan Agro Madani@ Rompin.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here