Home Buletin Semasa WANITA 59 TAHUN DITAHAN DALAM OP MABUK MIRI

WANITA 59 TAHUN DITAHAN DALAM OP MABUK MIRI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

MIRI: Seorang wanita tempatan berusia 59 tahun ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Khas ‘Op Mabuk’ yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, awal pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Miri untuk tindakan lanjut selepas ujian pernafasan menggunakan alat Screening Device 2 (SD2) mendapati terdapat alkohol dalam badannya semasa memandu.

“Sampel darah suspek turut diambil di Jabatan Forensik Hospital Miri bagi tujuan siasatan lanjut.

“Operasi yang dilaksanakan bermula jam 11 malam pada Jumaat hingga jam 3 pagi Sabtu lalu itu diketuai seorang Pegawai Kanan Polis bersama tujuh anggota Trafik IPD Miri,” katanya menerusi laman rasmi semalam.

Beliau berkata operasi yang tertumpu di sepanjang Jalan Miri-Airport itu turut menyaksikan seramai 95 individu terdiri daripada 80 lelaki dan 15 perempuan diperiksa bersama 72 kenderaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk memandu tanpa lesen memandu, pengubahsuaian ekzos, cukai jalan tamat tempoh, tidak mempamerkan huruf ‘P’ pada kenderaan serta lain-lain kesalahan teknikal.

“Sebanyak 20 keping saman dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kesalahan pertama boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 dan penjara maksimum dua tahun.

“Selain itu, pesalah juga boleh hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu atau menunggang di bawah pengaruh minuman beralkohol sehingga membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi spesifikasi asal serta mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Sebarang maklumat berkaitan kesalahan trafik boleh disalurkan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here