Home Buletin Semasa 1,476 WARGA MYANMAR DIHANTAR PULANG BAGI FASA PERTAMA 

1,476 WARGA MYANMAR DIHANTAR PULANG BAGI FASA PERTAMA 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam melaksanakan fasa pertama Program Penghantaran Pulang Tahanan membabitkan 1,476 warganegara Myanmar. 

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, penghantaran itu dilaksanakan berdasarkan senarai yang dikemukakan Kerajaan Myanmar menerusi Nota Diplomatik rasmi.

“Kesemua mereka dihantar pulang melalui laluan laut menggunakan dua kapal dan sebuah kapal hospital milik Kerajaan Myanmar, dengan penyelarasan KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi berkaitan.

“Jumlah 1,476 individu itu adalah sebahagian daripada 5,000 warga Myanmar yang telah dimuktamadkan untuk menjalani program penghantaran pulang selepas Kerajaan Myanmar bersetuju menerima mereka dan individu terbabit turut bersetuju untuk pulang secara sukarela,” kata KDN.

Menurut KDN, sehingga 15 Ogos lalu, seramai 10,388 warga Myanmar yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen sedang melalui proses pengesahan identiti, status imigresen dan latar belakang keselamatan.

KDN berkata, pelaksanaan program itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menangani isu kehadiran pelarian asing, khususnya dari Myanmar, yang telah berlarutan sekian lama.

“Langkah berkenaan dilaksanakan secara berfasa dengan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, selain mengambil kira nilai kemanusiaan serta kepentingan keselamatan negara.

“Walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, kerajaan menegaskan pendekatan yang diambil kekal berteraskan nilai ihsan dan semangat kekeluargaan ASEAN.” menurut KDN.

Dalam pada itu, KDN berkata rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar, bersama penguatkuasaan undang-undang, membolehkan pengurusan warga asing dan individu yang mendakwa sebagai pelarian dilaksanakan berdasarkan identiti serta status yang telah dikenal pasti.

“Fasa penghantaran pulang seterusnya akan diteruskan tertakluk kepada penyempurnaan proses pengenalpastian, dokumentasi dan verifikasi, selain kesiapsiagaan logistik serta penyelarasan operasi antara Malaysia dan Myanmar,” kata KDN.

KDN berkata kejayaan pelaksanaan Fasa Pertama itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menangani isu migrasi tidak teratur dan pendatang asing tanpa izin melalui penguatkuasaan undang-undang, penghantaran pulang serta pengurusan dan pendataan yang lebih sistematik.

Kerajaan turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam, dengan kedaulatan undang-undang serta keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang dilaksanakan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here