Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kos penghantaran ubat susulan bagi pesakit yang layak akan ditanggung sepenuhnya selama setahun menerusi inisiatif Ubat Melalui Pos (UMP), bermula 1 Oktober ini.
Perkara itu dikongsikan di laman rasmi Kementerian Komunikasi hari ini.
Inisiatif itu dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, hasil kerjasama strategik Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Menerusi pelaksanaan berkenaan, lebih 80,000 pesakit setiap bulan di seluruh negara dijangka mendapat manfaat, dengan anggaran kos penghantaran sebanyak RM5 juta.
“MCMC akan menyelaras pelaksanaan inisiatif itu, manakala urusan penghantaran ubat akan dilaksanakan oleh Pos Malaysia Berhad,” menurut kementerian itu.
Dalam pada itu, KKM bertanggungjawab menentukan kelayakan pesakit serta menyediakan bekalan ubat-ubatan bagi penghantaran.
Inisiatif UMP turut memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan, sekali gus membantu meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan khususnya bagi pesakit yang layak.
Pelancaran inisiatif berkenaan berlangsung di Menara Komunikasi hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali serta Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar Syed A.R Albar.
IMedikel TV






