Home Buletin Semasa KERJASAMA PRODUKSI MALAYSIA-KOREA SELATAN, MALAYSIA-AUSTRALIA CECAH RM93 JUTA – AKMAL NASRULLAH

KERJASAMA PRODUKSI MALAYSIA-KOREA SELATAN, MALAYSIA-AUSTRALIA CECAH RM93 JUTA – AKMAL NASRULLAH

Oleh: Wartawan IMedikel TV

ISKANDAR PUTERI: Agenda Ekonomi Jingga yang merangkumi industri kreatif akan terus diperkasa, dengan kerjasama produksi antara syarikat Malaysia dengan rakan industri dari Australia dan Korea Selatan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerjasama berkenaan diterajui OMG Studios itu melibatkan Madman Entertainment dari Australia dan Greenpatch Studio dari Korea Selatan, bernilai keseluruhan US$22 juta (kira-kira RM93 juta) akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Dua projek utama akan dibangunkan menerusi kerjasama berkenaan, iaitu penerbitan filem dan televisyen Malaysia-Australia bernilai US$10 juta (kira-kira RM43.2 juta) serta penerbitan filem cereka Malaysia-Korea bernilai US$12 juta (kira-kira RM50.8 juta).  

“Jadi untuk dua tahun akan datang, mereka akan membangunkan dan menerbitkan slates dengan nilai gabungan  US$22 juta: US$10 juta bagi Malaysia-Australia film and television slate dan US$12 juta bagi Malaysia-Korea feature film slate,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan KL20 @ Johor 2026: The Orange Economy Chapter – Creativity Reimagined di Iskandar Malaysia Studios (IMS), di sini hari ini.

Menurut beliau, kerjasama antarabangsa itu berpotensi membuka peluang kepada bakat, vendor, studio dan pemilik harta intelek (IP) tempatan untuk terlibat dalam produksi antarabangsa, sekaligus membangunkan keupayaan industri kreatif Malaysia secara berterusan.

Katanya kerjasama itu turut mengukuhkan potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai hab serantau bagi kandungan antarabangsa, produksi maya, kecerdasan buatan (AI) generatif dan teknologi kreatif.

“Johor mempunyai kedudukan strategik untuk menjadi antara platform utama bagi memacu agenda Ekonomi Jingga, manakala keupayaan sekitar Iskandar Malaysia Studios turut menyediakan platform praktikal untuk aktiviti produksi, teknologi dan akses pasaran.

“Ini dapat memacu agenda Ekonomi Jingga berikutan kedudukannya yang berhampiran Singapura, selain memiliki infrastruktur industri dan digital serta rangkaian hubungan serantau yang kukuh,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), industri budaya dan kreatif menyumbang sekitar 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menjana nilai ditambah kasar sebanyak RM130.7 bilion pada 2024.

“Skala tersebut menunjukkan industri berkenaan mempunyai asas ekonomi yang signifikan.

“Sekaligus wajar diberikan perhatian setara dengan sektor pertumbuhan strategik lain, termasuk menerusi kemasukannya dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here