Home Buletin Semasa SYED SADDIQ KENANG PERTEMUAN TERAKHIR BERSAMA TUN HASMAH, BAKAL BAWA NASIHAT KE...

SYED SADDIQ KENANG PERTEMUAN TERAKHIR BERSAMA TUN HASMAH, BAKAL BAWA NASIHAT KE ALAM PERKAHWINAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan pertemuan terakhirnya bersama tunang, Bella Astillah bersama insan yang disayanginya,  Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai kenangan yang amat bermakna dan akan kekal dalam ingatan.

Menerusi perkongsian di media sosial, Syed Saddiq berkata tiada apa-apa pada pertemuan berkenaan yang dirasakan seperti satu perpisahan, malah mereka sempat ketawa, bergurau, berkongsi cerita serta menerima nasihat mengenai perkahwinan, keluarga dan kehidupan.

Menurutnya, Allahyarhamah Tun Hasmah seorang yang baik hati, mencuit hati, mesra dan mempunyai kebijaksanaan hasil pengalaman hidup, pengorbanan serta kasih sayang sepanjang hayat.

Syed Saddiq mengakui masih tidak mampu menerima hakikat bahawa Allahyarhamah Tun Hasmah kini sudah tiada.

Katanya, segala yang berlaku merupakan ketentuan Allah SWT dan setiap manusia akhirnya akan kembali kepada-Nya.

Beliau turut meluahkan rasa kasih dan penghargaan terhadap Allahyarhamah Tun Hasmah yang telah meninggalkan satu kenangan terakhir yang indah buatnya bersama Bella.

“Terima kasih kerana memberikan Bella Astillah dan saya satu kenangan terakhir yang begitu indah.

“Terima kasih atas setiap gelak tawa, setiap cerita dan setiap nasihat yang Tun tinggalkan kepada kami,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau dan Bella tidak berkesempatan memenuhi hasrat Allahyarhamah Tun Hasmah untuk hadir ke majlis perkahwinan mereka nanti.

Namun, beliau berjanji segala nasihat yang diberikan akan dibawa bersama dalam kehidupan berumah tangga.

Katanya, nasihat Allahyarhamah Tun Hasmah akan menjadi panduan mereka dalam membina perkahwinan, keluarga dan kehidupan bersama, insya-Allah untuk sepanjang hayat.

Dalam perkongsian sama, Syed Saddiq turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan tempat terbaik di syurga buat Allahyarhamah Tun Hasmah serta mengakhiri ucapan dengan bacaan Al-Fatihah.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here