KUALA LUMPUR: Pelakon berkaliber, Azhan Rani menegaskan pembabitan dalam dunia seni bukan semata-mata untuk mengejar pengiktirafan, sebaliknya lebih mengutamakan kualiti dalam setiap projek.
Memetik laporan Berita Harian, biarpun baru-baru ini namanya bolos dua pencalonan pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026, aktor berusia 50 tahun itu tidak menjadikan kejayaan merangkul trofi sebagai sasaran utama.
“Sebenarnya, saya selalu letak diri ini sekadar ‘buat ramai’ sahaja dalam senarai pencalonan anugerah. Boleh dikatakan saban tahun saya tercalon, tetapi saya tak pernah dapat pun (menang).
“Sebelum ini pernah dapat dua pencalonan begini, malah tiga pencalonan pun saya pernah. Tetapi tidak pernah dapat satu pun (trofi).
“Namun, saya tak pernah terlalu memikirkan sama ada menang atau tidak,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi bagi mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Bisikan di Studio NSTP Balai Berita di sini, hari ini.
Berikutan itu, Azhan mengakui kurang selesa apabila ada segelintir penggiat seni memintanya terus mencuba untuk mengejar pengiktirafan, terutama ketika menghadiri majlis anugerah yang menyaksikan keputusan tidak memihak kepadanya.
Bagaimanapun, pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Sesuci Cinta Sofiya pada 2007 itu tetap menghadiri setiap majlis penganugerahan yang mencalonkan namanya sebagai tanda sokongan kepada rakan seperjuangan dan industri seni tanah air.
“Saya letih sebenarnya pergi majlis anugerah sebab bila tak dapat (anugerah), orang kata, tak apa Azhan, cuba lagi. Saya tak pernah cuba apa-apa pun sebenarnya. Kenapa saya hendak cuba lagi?
“Saya tak anggap kalah pun. Saya seronok apabila menghadiri majlis anugerah. Sudah tercalon pun sudah bagus. Maknanya saya tahu saya ada dalam senarai walaupun sekadar ‘buat ramai’ sahaja,” katanya.
Mengenai pencalonan pada ASA 2026, Azhan menegaskan dia tidak melihatnya sebagai medan untuk membuktikan sesuatu atau mengejar kemenangan.
“Kalau tak menang pun tak apa sebab ia bukan pertandingan. Tidak ada karya yang bertanding, saya juga tak sasarkan apa-apa,” katanya.
Azhan tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik menerusi drama Seribu Tahun dan Wok pada ASA 2026.
Kategori itu turut menyaksikan Allahyarham Jalil Hamid menerima dua pencalonan menerusi Kalam Murabbi dan Pimpinan Ke Jannah, selain Zamarul Hisham menerusi Terpadamnya Pelita Syawal.
Malam kemuncak ASA 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 24 Oktober depan. – BH Online –
IMedikel TV






