Home Buletin Semasa POLIS SIASAT KES KERETA ISTERI IMAM WARGA THAILAND DISEMBUR CAT HITAM 

POLIS SIASAT KES KERETA ISTERI IMAM WARGA THAILAND DISEMBUR CAT HITAM 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Polis menyiasat kejadian khianat membabitkan sebuah kereta milik seorang imam warga Thailand yang ditemukan mempunyai kesan tompokan cat hitam ketika diletakkan di kawasan Jeti Kok Majid, Tumpat, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada malam Selasa.

Menurutnya, mangsa berusia 30 tahun mendapati kereta jenis Honda City berwarna putih milik isterinya mengalami kerosakan berupa kesan cat pada bahagian sisi kiri kenderaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa meletakkan kenderaan berkenaan di kawasan jeti kira-kira jam 7.10 malam sebelum bergerak ke Masjid Pulau Beluru untuk menunaikan solat Isyak.

“Mangsa kemudian kembali ke lokasi kira-kira jam 9.36 malam dan mendapati terdapat kesan cat pada kenderaan tersebut.

“Sebelum kejadian, mangsa turut menerima satu tangkapan skrin daripada rakannya yang mengandungi kenyataan berhubung dakwaan bahawa dia telah diugut berkaitan isu pemberian maklumat kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Kepulauan Tumpat,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata mangsa menafikan dakwaan berkenaan.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian, selain menyiasat kemungkinan kaitan antara perbuatan khianat itu dengan maklumat yang diterima mangsa sebelum kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Tumpat di talian 09-7252482 atau hadir ke balai polis berhampiran.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here