Home Buletin Semasa DUA KETUA BALAI TERIMA SURAT TEGURAN GAGAL CAPAI SASARAN TANGKAPAN DADAH

DUA KETUA BALAI TERIMA SURAT TEGURAN GAGAL CAPAI SASARAN TANGKAPAN DADAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Dua Ketua Polis Balai di Kelantan menerima surat teguran susulan kegagalan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) tangkapan berkaitan dadah yang ditetapkan yang mula dilaksanakan sejak 15 Julai lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada pemantauan berterusan terhadap prestasi setiap balai dalam usaha memperkasakan operasi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, pihaknya turut menetapkan sasaran sekurang-kurangnya satu tangkapan sehari bagi setiap balai, manakala balai yang gagal merekodkan sebarang tangkapan dalam tempoh seminggu akan dipantau pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

“Kalau satu minggu balai itu kosong, kita akan turunkan pasukan khas daripada IPK. Kalau IPK turun boleh buat tangkapan, maknanya ketua balai itu kita akan ambil tindakan sebab dia tak buat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. 

Beliau berkata, pencapaian setiap balai turut dipantau menerusi taklimat dan statistik mingguan bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.

Katanya, pendekatan itu turut membolehkan pihaknya mengenal pasti balai yang mencatatkan KPI rendah untuk tindakan susulan.

“Contoh satu hari satu tangkapan. Kalau hari ini kosong, esok dia kena ada dua. Hari ini kosong, esok kosong, lusa kosong, tak boleh. Dia kena usaha supaya tujuh dalam seminggu,” katanya.

Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira tujuh balai di tiga daerah yang dikenal pasti tidak merekodkan sebarang tangkapan dalam tempoh seminggu. 

Mohd Yusoff berkata, pemantauan akan diteruskan secara berkala sebelum proses pascanilai pada Oktober ini  dibuat bagi menilai pencapaian dan mengenal pasti punca kegagalan mencapai sasaran.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here