Home Buletin Semasa PENGURUS SYARIKAT RUGI RM1.2 JUTA DITIPU SINDIKET PENIPUAN

PENGURUS SYARIKAT RUGI RM1.2 JUTA DITIPU SINDIKET PENIPUAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang pengurus wanita sebuah syarikat mengalami kerugian kira-kira RM1.2 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket menerusi panggilan telefon Julai lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata mangsa bukan sahaja mengeluarkan wang daripada akaunnya, malah turut menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta menggadaikan barang kemas hampir RM500,000 selepas diperdaya sindiket terbabit.

Menurutnya, mangsa dipercayai ditakutkan dengan dakwaan kononnya terbabit dalam kes pecah amanah atau pengubahan wang haram sebelum diarahkan melakukan beberapa transaksi.

“Wanita berkenaan mengambil masa kira-kira dua bulan sebelum melaporkan kepada pihak polis berkenaan kejadian itu.Habis akaun dia buat keluar  duit, sampai KWSP pun dia ambil dan diserahkan kepada sindiket berkenaan.

“Arahan kononnya suruh buka akaun baru dan dia terbabit dengan pecah amanah ataupun pengubahan wang haram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. 

Mohd Yusoff berkata akibat terlalu takut wanita terbabit tidak berkongsi perkara itu dengan keluarga atau pihak berkuasa.

Katanya, sindiket menggunakan ketakutan mangsa terhadap undang-undang sebagai taktik untuk memperdayakan mereka.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah panik sekiranya menerima panggilan mendakwa mereka terbabit dalam kes jenayah atau mempunyai masalah dengan pihak berkuasa.

“Saya ingatkan kepada semua, tiada mana-mana agensi termasuk polis atau Bank Negara akan membuat panggilan telefon.

“Kalau rasa takut sangat, tamatkan panggilan dan hubungi agensi berkenaan untuk membuat semakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata siasatan terhadap kes kerugian RM1.2 juta berkenaan sedang dijalankan dan polis berusaha mengesan individu yang terbabit.

Dalam perkembangan sama beliau berkata sindiket berkenaan turut menggunakan nombor IPK untuk membuat panggilan kepada mangsa seolah-olah panggilan itu daripada pihak polis.

“Pihak kami sedang menyiasat berkenaan 68 panggilan sehari menggunakan nombor IPK,” katanya.

Mohd Yusoff berkata pihaknya dengan kerjasama Bukit Aman sedang mengesan beberapa individu yang dipercayai terbabit dengan kes penipuan itu.

Beliau berkata pihaknya akan memperhebat kempen kesedaran berkaitan jenayah komersial menerusi media serta ketua jabatan komersial bagi membendung kes jenayah itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here