Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jenayah harta benda menjadi antara perkara yang diberi perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan susulan peningkatan kes berkenaan, meskipun secara keseluruhan indeks jenayah negeri itu masih menunjukkan trend penurunan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata penurunan jenayah harta benda yang direkodkan adalah kecil, iaitu sekitar 0.4 peratus, berbanding tiga peratus bagi jenayah kekerasan.
Katanya, pihaknya kini menjalankan kajian bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes jenayah harta benda mengikut daerah.
“Yang kita risaukan sekarang ini isu jenayah harta benda. Jadi harta benda ini kurang tak banyaklah,berkurang empat kes atau 0.4 peratus.
“Jadi, berbalik kepada isu jenayah harta benda ini, yang mahu kata makin meningkat sebenarnya, tapi cuma dari segi peratusan dan bilangan harta itu menurun. Tetapi ada peningkatan jenayah harta benda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata, kajian berkenaan turut mengambil kira kemungkinan faktor ekonomi semasa, selain meneliti punca peningkatan kes di setiap daerah.
Katanya, walaupun jumlah kerugian bagi sesetengah kes adalah kecil, setiap laporan tetap perlu diterima bagi membolehkan polis mendapatkan gambaran sebenar lokasi dan trend jenayah.
“Kita bincang semalam, isu dia kerugian sikit saja. Tapi dia datang buat laporan. Kita tak boleh tolak laporan orang. Contohnya kerugian RM50, pecah tabung masjid dan sebagainya.”
Beliau berkata, maklumat daripada setiap laporan penting bagi membantu PDRM merangka langkah pencegahan berdasarkan lokasi, daerah dan kawasan yang merekodkan masalah.
IMedikel TV






