Home Hiburan NAJWA LATIF TERHARU TERIMA SOKONGAN RAMAI PIHAK

NAJWA LATIF TERHARU TERIMA SOKONGAN RAMAI PIHAK

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang juga pensyarah, Najwa Latif, 31, meluahkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada semua yang tampil membela dirinya yang baru-baru ini menjadi mangsa ‘body shaming’ di media sosial.

Memetik laporan Harian Metro, Najwa berkata, sebagai individu yang pernah berdepan dengan ‘kebencian’ sejak berusia belasan tahun, dia tidak berharap kepada sesiapa untuk muncul mempertahankannya sebagaimana sekarang.

Terdahulu, luahan berkenaan dikongsikan ibu kepada seorang anak perempuan itu dalam hantaran dimuatnaik di Instagram (IG) demi menghargai banyak sokongan positif yang diterimanya.

“Bagi seseorang yang mengalami kebencian sejak 16 tahun (usia), saya tidak pernah mengharapkan sesiapa membela saya.

“Saya sentiasa percaya bahawa setiap orang berhak meluahkan pendapat mereka. Saya mungkin tidak menerimanya, tetapi saya akan menghormati walaupun saya tidak mendapat penghormatan yang sama.

“Saya membaca semuanya (komen ditulis), dan ketahuilah kehadiran cahaya mata saya adalah perkara paling indah dalam kehidupan ini,” tulisnya pada hantaran itu.

Menurut penyanyi lagu Kosong dan Sahabat ini lagi, apapun dia mengharapkan segala kebaikan yang diberikan itu akan berbalik semula kepada sesiapa yang mendoakannya juga.

“Saya jarang meluahkan apa yang dirasakan di media sosial, tetapi saya sangat terkesan dengan kasih sayang dan kebaikan kalian semua. Terima kasih kerana memahami dan menyokong saya.

“Walaupun saya tidak tahu apa yang sudah dilakukan untuk saya layak mendapat kebaikan ini, tetapi saya sangat berterima kasih kerana kalian membantu sembuhkan sebahagian kelukaan hati saya yang pernah dialami pada masa lalu,” katanya.

Pada ruang komen, kebanyakan netizen menitipkan kata-kata semangat dan rasa kasih kepada ketulusan Najwa yang cekal dan tenang menghadapi situasi tidak sepatutnya berkaitan ‘body shaming’ itu.

Najwa mula bermain muzik ketika berusia 14 tahun pada 2009. Namun, dia kemudian menulis lirik dan pada Jun 2011 muncul dengan lagu pertama, Cinta Muka Buku yang membuatkan namanya popular dan dikenali ketika berumur 16 tahun.

Pada 11 November 2022, Najwa mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Akwa Arifin dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Medina yang lahir pada 11 November tahun lalu, dan kini berusia 10 bulan. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here