Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menanam sebanyak 42,700 pokok pelbagai spesies di kawasan Hutan Simpan Kekal Tasek Bera yang diceroboh dalam tempoh enam tahun.
Projek menghijaukan semula kawasan ceroboh bermula pada 2014 hingga 2019, kemudian diteruskan tahun ini dengan menanam sebanyak 2,000 pokok.
Penolong Pengarah Silvikultur Zon Pahang Tengah, Wan Zaizielawany Wan Muhamad Zin, berkata program berkenaan mendapat kerjasama Sultan Ahmad Shah Environmental Foundation (SASEF) dan Pengurusan Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (RAMSAR) Tasek Bera serta beberapa agensi lain.
“Komuniti Orang Asli setempat tidak ketinggalan turut sama menyertai program menghijaukan semula kawasan ceroboh Hutan Simpan Kekal Tasek Bera sebagai bukti keprihatinan mereka terhadap alam sekitar,” katanya di sini semalam.
Katanya, antara spesies pokok ditanam di kawasan terbabit ialah Meranti Tembaga, Meranti Temak, Keruing Kertas, Merbau, Kasai, Keladan, Merawan Siput Jantan, Sepetir, Keruing Neram dan Meranti.
“Menjadi tanggungjawab JPNP mengadakan program menanam semula pelbagai spesies pokok di kawasan ceroboh dalam memastikan kawasan yang diteroka itu kembali menghijau dengan pokok walaupun mengambil masa agak panjang.
“Pada program sebelum ini kita turut menanam pokok durian dengan harapan memberi peluang kepada masyarakat Orang Asli setempat mendapat hasil dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang,” katanya,
Beliau menambah, setiap kawasan Hutan Simpan Kekal Tasek Bera yang diceroboh terlebih dahulu dibuat ukur sempadan serta tanda barisan tanaman. Pancang kayu disediakan pada setiap pokok bagi tujuan penanda.
Wan Zaizielawany berkata, jabatan berharap aktiviti menceroboh Hutan Simpan Kekal Tasik Bera tidak terus berlaku lagi selepas ini dalam memastikan kawasan hutan di situ dapat dipelihara dan terus kekal.
IMedikel TV






