Home Buletin Semasa PREMIS PERJUDIAN WARGA ASING DISERBU, 15 DITAHAN DI PANDAN JAYA

PREMIS PERJUDIAN WARGA ASING DISERBU, 15 DITAHAN DI PANDAN JAYA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Seramai 15 warga asing ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di empat premis perniagaan dipercayai menjalankan kegiatan perjudian secara tertutup di sekitar Pandan Jaya, di sini, pada Sabtu lalu.

Operasi khas yang bermula jam 12.01 tengah malam itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, susulan maklumat awam serta risikan selama sebulan.

JIM dalam kenyataan menerusi laman rasmi memaklumkan, mereka yang ditahan terdiri daripada 15 warga asing berusia antara 21 hingga 38 tahun, membabitkan tiga lelaki Myanmar, dua lelaki Indonesia, seorang lelaki Bangladesh, seorang lelaki India serta enam perempuan Indonesia.

“Turut ditahan ialah seorang lelaki Bangladesh dan seorang perempuan Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis dan juruwang.

“Semakan awal mendapati kesemua warga asing terbabit disyaki menyalahgunakan pas yang dimiliki, tinggal lebih masa serta tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Dalam operasi sama, pasukan penguat kuasa turut menyita tujuh pasport Indonesia, 31 tablet, 15 telefon bimbit, buku jadual pekerja, salinan perjanjian sewaan premis serta wang tunai RM1,674 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan,” kata JIM.

Menurut JIM, modus operandi kegiatan itu adalah menjalankan perjudian secara tertutup dengan kawalan keselamatan ketat dan hanya dibuka kepada pelanggan tetap atau individu yang dikenali.

“Premis terbabit turut menyediakan pelbagai jenis permainan berunsurkan perjudian selain dilengkapi kamera litar tertutup bagi memantau pergerakan pelanggan serta kehadiran pihak berkuasa.

“Akses masuk pula dikawal menggunakan pintu besi bermagnet yang dikunci dan dikawal dari dalam premis,” kata JIM.

JIM memaklumkan, seorang lelaki Bangladesh dan seorang perempuan Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Empat wanita Indonesia pula disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama, manakala seorang lagi wanita Indonesia ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Warga asing lain turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” kata JIM.

Menurut JIM kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala lima lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat berkenaan bagi membantu siasatan.

JIM menegaskan komitmen untuk meneruskan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang negara demi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here