Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) memperuntukkan RM1.66 juta bagi menaik taraf dan melengkapkan Microsurgical Skills Training Centre (MiST) di Kampus Kesihatan, sebagai pusat latihan kemahiran mikrosurgeri berasaskan simulasi sebelum doktor dalam latihan kepakaran mengaplikasikan teknik pembedahan terhadap pesakit sebenar.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, penambahbaikan pusat berkenaan dibuat bagi memenuhi keperluan semasa termasuk penggunaan peralatan dan teknologi terkini dalam dewan pembedahan.
“Pusat ini dahulu memang sudah ada, tetapi kita tambah baik kerana mengambil kira keperluan masa kini dan alatan yang digunakan dalam dewan pembedahan.
“Projek ini membabitkan penyediaan ruang latihan yang kondusif dan memenuhi keperluan latihan mikrosurgeri, termasuk penambahan mikroskop pembedahan, stesen latihan, kemudahan komunikasi dan internet, peralatan pembedahan serta kemudahan pembelajaran yang menyokong latihan secara individu dan berkumpulan.
“Pelajar sama ada di peringkat sarjana muda atau sarjana akan melalui latihan secara simulasi menggunakan bahan yang sama seperti dalam dewan pembedahan, cuma bukan kepada pesakit sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Perasmian MiST, di Pusat Integrasi Simulasi Klinikal (i-CSC), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM di sini hari ini.
Beliau berkata, latihan simulasi itu membolehkan pelatih menguasai teknik pembedahan secara terkawal, termasuk penggunaan mikroskop, sebelum mereka bersedia menjalankan prosedur terhadap pesakit sebenar.

“Sebagai contoh, hari ini kita ada latihan berkaitan katarak. Model yang digunakan sama seperti yang kita akan jumpa pada pesakit dan mereka akan diberi latihan serta tunjuk ajar cara menggunakan mikrosurgeri.
“Apabila mereka sudah bersedia, barulah mereka akan melakukan pembedahan kepada pesakit sebenar,” katanya.
MiST yang terletak di i-CSC, PPSP, USM Kampus Kesihatan itu dilengkapi 10 stesen latihan yang direka bentuk berasaskan persekitaran dewan bedah.
“Setiap stesen dilengkapi mikroskop, meja pembedahan, mesin pembedahan serta peralatan berkaitan yang digunakan dalam prosedur pembedahan, manakala satu stesen dikhususkan untuk pakar perubatan atau pensyarah yang bertindak sebagai pengajar klinikal.
“Kapasiti selesa bagi latihan pada satu-satu masa ialah 10 peserta, selain kemudahan itu turut membolehkan latihan dijalankan secara dalam talian bersama pusat latihan di luar USM termasuk institusi dari luar negara.
Katanya, projek berkenaan bermula pada 23 November 2025 dan berjaya disiapkan pada 15 Mac lalu, membabitkan kerja pengubahsuaian, penaiktarafan ruang serta penyediaan peralatan dan kemudahan latihan.
Beliau berkata, MiST bukan hanya memberi tumpuan kepada satu bidang kepakaran, sebaliknya menyokong latihan dalam pelbagai bidang yang memerlukan kemahiran mikrosurgeri termasuk bidang Oftalmologi, Ortopedik, Pembedahan Rekonstruktif, Pembedahan Am, Otorinolaringologi, Kepala dan Leher serta Obstetrik dan Ginekologi.

“Bukan satu bidang sahaja, tetapi bahagian-bahagian lain juga terlibat termasuk neuro, pembedahan plastik dan sebagainya,” katanya.
Dr Abdul Rahman berkata, MiST juga bukan hanya terbuka kepada doktor atau pelajar sepenuh masa USM, malah berpotensi dimanfaatkan pelajar dari institusi lain melalui kerjasama latihan.
“Insya-Allah kita akan buat kolaborasi latihan bersama. Kita akan menjadi hos sebab kita ada pengajar dan kemudahan, dan kita akan buka kepada universiti lain, sama ada universiti awam atau swasta,” katanya.
Katanya MiST mula beroperasi kira-kira lima bulan lalu dan setakat ini sekitar 40 pelatih sudah menjalani latihan serta diperakui bersedia untuk memasuki fasa pembedahan sebenar, khususnya dalam bidang oftalmologi.
Beliau berkata kemudahan itu turut berperanan sebagai platform penganjuran kursus dan bengkel, penilaian kompetensi, penyelidikan serta kolaborasi dengan institusi dalam dan luar negara.
IMedikel TV






