Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebanyak 94 laporan polis berkaitan penipuan pembelian barangan dalam talian menggunakan modus operandi ‘tiga penjuru’ direkodkan di Kelantan sehingga 15 September lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, daripada jumlah itu, 75 laporan membabitkan pembeli yang ditipu, manakala 19 lagi laporan membabitkan penjual yang iklan barangan mereka telah disalahgunakan penjenayah.
Menurutnya, sebanyak 66 kertas siasatan telah dibuka dengan Tumpat mencatatkan jumlah laporan tertinggi iaitu 35 kes, diikuti Kota Bharu sebanyak 22 laporan.
“Modus operandi ini berlaku apabila penjenayah mengambil atau menggunakan maklumat iklan barangan milik penjual sebenar, kemudian berurusan dengan pembeli seolah-olah barangan tersebut miliknya.
“Pembeli kemudiannya diarahkan membuat pembayaran mengikut arahan penjenayah, menyebabkan penjenayah menerima wang, pembeli mengalami kerugian manakala penjual sebenar pula terheret dalam urusan yang tidak diketahuinya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd Yusoff berkata, antara barangan yang direkodkan dalam laporan termasuk motosikal, kereta, kenderaan pacuan empat roda dan telefon bimbit.
Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan dan menangkap semua suspek yang terlibat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat pembayaran, khususnya apabila ditawarkan barangan pada harga yang terlalu murah.
“Pastikan identiti penjual, pemilikan barangan dan akaun penerima bayaran benar-benar sepadan sebelum meneruskan transaksi.
“Ingat, barangan mungkin benar-benar wujud, tetapi orang yang anda berurusan mungkin penjenayah,” katanya.
Orang ramai yang baru sahaja membuat transaksi dan menyedari telah menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi NSRC 997 serta membuat laporan polis.
IMedikel TV






