Home Buletin Semasa PESARA GURU RUGI RM15,000 DITIPU ‘PEGAWAI POLIS’, WANITA DITAHAN

PESARA GURU RUGI RM15,000 DITIPU ‘PEGAWAI POLIS’, WANITA DITAHAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang pesara guru berusia 75 tahun kerugian RM15,000 selepas dipercayai diperdaya sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai polis, sebelum seorang wanita berusia 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, bagaimanapun suspek ditahan pada 13 September lalu di sekitar Kota Bharu hasil risikan dan maklumat yang diterima.

“Dalam kejadian pada 12 September lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Mangsa dimaklumkan mempunyai saman mahkamah berjumlah RM25,000 dan didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram serta sindiket dadah yang boleh dikenakan hukuman penjara 15 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa kemudian diarahkan merahsiakan perkara itu sebelum diminta menyerahkan dua kad ATM serta rantai leher bersama loket milik isterinya dengan alasan pegawai penyiasat akan datang ke rumah,” katanya.

“Sekitar jam 5 petang hari sama, seorang wanita datang ke rumah mangsa dengan menaiki sebuah kereta sebelum menerima barangan tersebut dan beredar.

“Hasil keterangan awal mendapati suspek menerima arahan melalui WhatsApp daripada individu tidak dikenali untuk mengambil barangan mangsa.

“Mangsa sempat menghubungi pihak bank untuk menyekat kad ATM dan tiada transaksi dikesan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata rantai emas berkenaan kemudiannya dijual di sebuah kedai emas di Kota Bharu pada hari sama, manakala sebahagian wang hasil jualan dimasukkan ke akaun pihak ketiga.

“Polis kemudian merampas dua kad ATM milik mangsa, sebuah Perodua Axia, resit bank-in dan resit kedai emas, manakala rantai emas berkenaan berjaya diperoleh semula daripada kedai emas terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Yusoff turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan individu yang menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia atau pihak bank.

“Polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia dan pihak bank tidak akan menghubungi anda untuk meminta menyerahkan kad ATM, PIN atau barang kemas kepada sesiapa.

“Jangan panik dengan ugutan saman atau tangkapan. Tamatkan panggilan dan sahkan sendiri dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menerima arahan untuk mengambil atau menjual barangan atas suruhan individu tidak dikenali kerana boleh disiasat sebagai pihak yang terlibat.

“Jika baru sahaja menyedari telah ditipu, segera hubungi NSRC 997 dan buat laporan polis,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here