Home Buletin Semasa MALAYSIA TAK HANTAR MALBATT KE YAMAN TANPA MANDAT PBB – MINDEF 

MALAYSIA TAK HANTAR MALBATT KE YAMAN TANPA MANDAT PBB – MINDEF 

Oleh: Wartawan IMedikel TV 

KOTA TINGGI: Malaysia tidak akan mengambil keputusan secara bersendirian untuk menghantar pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) ke Yaman, sebaliknya akan berpandukan kepada keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penempatan pasukan pengaman lazimnya dilaksanakan selepas pihak yang berkonflik mencapai persetujuan, untuk berdamai dan memerlukan pasukan pengaman bagi memastikan syarat perdamaian dipatuhi.

Beliau berkata, situasi di Yaman ketika ini adalah konflik yang masih berlaku dan bukan seperti penugasan pasukan pengaman di Lubnan.

“PBB tidak pernah hantar mana-mana pasukan untuk terlibat dalam perang. Ini sekarang tengah konflik, tengah perang.

“Kena faham, kalau negara yang berkonflik bersetuju untuk membawa perdamaian, maka kita hantar pasukan pendamai, pasukan pengaman untuk memastikan syarat-syarat perdamaian itu dihormati semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul di Felda Air Tawar 2, di sini hari ini.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan kerajaan Yaman, namun konflik yang berlaku ketika ini membabitkan kumpulan Houthi yang berkonflik dengan Arab Saudi.

Sehubungan itu, katanya, sebarang keputusan membabitkan penghantaran pasukan pengaman Malaysia perlu mengambil kira mandat dan keputusan PBB, khususnya berhubung penugasan pasukan pengaman di kawasan konflik.

“Yang ini sedang perang. Sedang perang, alih-alih kita masuk tengah-tengah, akan ada korban jiwa dan raga.

“Masa itu, keranda semua balik, tentu semua bising. Jadi, kena faham beza antara pasukan pengaman dengan pasukan yang masuk ke kawasan perang,” katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here