Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU:Berselindung di sebalik rumah kongsi yang disewa dan tidak bernombor di Kampung Sepakat Baru, Senai, Kulai, premis berkenaan dijadikan stor simpanan pelbagai jenis dadah sebagai modus operandi sebelum diedarkan.
Namun taktik itu akhirnya terbongkar, dengan penahanan tiga suspek termasuk remaja perempuan berusia 18 tahun, lebih kurang jam 6 petang pada 11 September lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam dua serbuan berasingan di dua buah rumah yang dibina secara haram dan terletak bersebelahan itu, pihak polis turut merampas sepucuk pistol jenis CZ dengan 79 butir peluru 9MM.
“Dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki tempatan yang mana salah seorang daripadanya adalah pengedar dadah.
“Manakala suspek kedua berperanan sebagai pembantu kepada suspek pertama.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 71 paket (72 gram) plastik dadah disyaki syabu, 50 paket (59 gram) disyaki heroin, 42 biji pil yaba atau pil kuda serta 57 gram dadah disyaki ganja dan sepuluh paket plastik disyaki mengandungi kafein,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.
Menurut Ab Rahaman, dalam serbuan kedua iaitu di rumah bersebelahan, polis berjaya menangkap remaja perempuan terbabit yang disyaki berperanan sebagai pengurus kewangan sindiket.
Pihaknya turut merampas 75 gram dadah disyaki syabu dan 10 gram dadah disyaki heroin.
“Keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 278 gram dengan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM11,401.
“Selain itu, kita menyita sebuah kereta Mercedes C180, sebuah lori, dua motosikal, wang tunai RM51,000 serta pelbagai barang kemas bernilai RM22,788.
“Kita percaya sindiket ini juga sudah aktif sejak Jun lalu,”katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal pistol yang dirampas kelihatan benar secara fizikal dan bukan tiruan, bagaimanapun ujian kebolehfungsian pistol berkenaan akan dijalankan.
Katanya setakat ini, hasil semakan tidak menjumpai sebarang rekod penggunaan pistol ini dalam mana-mana aktiviti jenayah.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek lelaki positif morfin, dan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau dalam kes dadah.
“Kesemua suspek direman sehingga 21 September depan bagi siasatan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,”katanya.
IMedikel TV






