Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang mengeluarkan sebanyak 3,295 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) atas kesalahan membuang sampah merata-rata dalam tempoh 1 Januari lalu hingga 14 September tahun ini.
Kira-kira 200 pesalah telah diarahkan untuk menjalani perintah khidmat masyarakat (PKM) dengan aktiviti membersih kawasan tumpuan awam dibeberapa daerah.

Pengarah SWCorp Pahang, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, pesalah bukan sahaja terdiri orang awam dan kakitangan kerajaan tetapi turut membabitkan golongan profesional yang bertindak membuang sampah termasuk puntung rokok merata-rata.
Menurutnya, terdapat pesalah yang membuang sampah merata-rata cuba mencari jalan keluar dengan membuat tawaran membayar denda lebih tinggi bagi mengelak menjalani perintah PKM. Merekacuba ‘berunding’ dengan SWCorp namun usaha itu tidak dilayan.
“Ada yang datang ke pejabat kami semata-mata untuk cuba berunding, ada yang sanggup membayar denda lebih tinggi daripada menjalani khidmat masyarakat.
“Kami menjelaskan bahawa PKM adalah wajib dan mereka yang gagal mematuhinya boleh dikenakan denda lebih berat sehingga RM10,000,”katanya pada Program CSO SWCorp Pahang ke-50 di Taman Gelora, di sini, kelmarin.

Pada program itu seramai 22 pesalah membuang sampah yang menjalani khidmat masyarakat di empat daerah, iaitu Kuantan, Bera, Pekan dan Temerloh.
Pesalah berusia antara 19 hingga 68 tahun itu diarahkan menjalani khidmat masyarakat antara dua hingga empat jam di bawah pengawasan anggota SWCorp.
Cairul Hisham menambah, ramai pesalah seolah-olah tidak kisah untuk membayar denda, sebaliknya yang menjadi kebimbangan mereka ialah perlu menjalani PKM yang membabitkan aktiviti membersih longkang dan menyapu sampah di tempat awam seperti taman rekreasi.
Beliau menambah, pesalah yang dikenakan tindakan di Pahang terdiri daripada warga asing, golongan profesional, penjawat awam, pelajar dan pesara, termasuk beberapa individu berusia lebih 70 tahun.
Katanya, pelaksanaan undang-undang baharu membabitkan kesalahan membuang sampah yang berkuat kuasa tahun ini menunjukkan perkembangan positif apabila kes berkenaan dilihat menurun sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, penurunan itu ketara terutama di kawasan hentian rehat dan rawat serta di luar pusat beli-belah.
Pegawai penguat kuasa berpakaian awam yang ditempatkan untuk mengesan individu membuang sampah di kawasan awam melaporkan bahawa majoriti individu kini membuang puntung rokok ke dalam tong sampah.
“Selain itu, terdapat juga video yang tular di media sosial memaparkan pasukan penguat kuasa kami mengeluarkan notis kepada individu yang membuang sampah di kawasan awam.
“Situasi itu mungkin menimbulkan rasa takut dalam kalangan mereka yang berpotensi melakukan kesalahan. Akibatnya, mereka mencari tong sampah terdekat untuk membuang sisa, termasuk puntung rokok,” katanya.
IMedikel TV






