Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Tindakan pantas dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang hampir lemas ketika mandi di Pantai Sepat, di sini, lima bulan lalu, menjadi pengalaman yang tidak mungkin dilupakan.
Anggota APM Pekan, Muhammad Khairul Nizam Manaf, 30, berkata dia terpaksa berenang kira-kira 200 meter meredah ombak besar bagi membantu mangsa yang ketika itu terkapai-kapai meminta pertolongan.
Menurutnya, kejadian berlaku di hadapan Menara Penyelamat Pantai B ketika mangsa mandi bersama keluarganya dalam keadaan air laut pasang, manakala bendera merah dikibarkan sebagai tanda keadaan laut berbahaya.
“Saya berenang kira-kira 200 meter sambil berhadapan ombak besar untuk menarik mangsa yang begitu lemah.
“Walaupun tidak pandai berenang, mangsa masih mampu menimbulkan badannya daripada terus tenggelam, sebelum saya memberikan tiub penyelamat untuk membantunya terapung,” katanya.
Muhammad Khairul Nizam berkata, mangsa yang pada awalnya kelihatan cemas mula kembali bersemangat selepas berjaya berpaut pada tiub penyelamat, namun keadaan menjadi mencabar apabila mereka dibawa arus semakin jauh ke tengah laut.
Katanya, dia berusaha menenangkan mangsa supaya tidak meronta atau panik, terutama selepas mangsa muntah air sebanyak tiga kali dan semakin lemah.
“Ketika terapung bersama mangsa dalam laut, saya berusaha menenangkannya supaya tidak meronta dan terlalu cemas terutama apabila berhadapan dengan ombak besar yang membawa kami semakin jauh ke tengah laut.
“Saya kemudian memanggil seorang lagi rakan, Rosman Adha Abdullah yang datang membawa papan luncur bagi memudahkan usaha membawa mangsa ke tepi pantai,” katanya.

Beliau berkata, mangsa turut menangis dan berada dalam keadaan trauma, selain sempat memberitahu seolah-olah dirinya sedang bermimpi selepas berjaya diselamatkan.
Muhammad Khairul Nizam yang bertugas meninjau keselamatan di Menara Penyelamat Pantai B berkata, kejayaan itu amat bermakna kerana ia adalah kes pertama menyelamatkan mangsa lemas selepas tiga tahun berkhidmat dengan APM Pekan.
“Ini kes pertama saya berjaya menyelamatkan mangsa lemas selepas tiga tahun bertugas dengan APM Pekan.
“Kejayaan itu begitu bermakna buat saya kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai anggota APM yang dibekalkan dengan latihan dan kemahiran menyelamat di air.
“Saya bersyukur berjaya menyelamatkan mangsa dan ucapan terima kasih daripada mangsa serta keluarganya begitu bermakna buat saya,” katanya.
Sementara itu, Rosman Adha berkata, kemahiran berenang dan latihan menyelamat di air memberikan keyakinan kepadanya untuk membantu membawa mangsa ke daratan menggunakan papan luncur, walaupun berhadapan ombak besar dan angin kencang.
“Umur mangsa masih panjang. Sebelum usaha menyelamat dilakukan, dia tenggelam timbul dan terkapai-kapai meminta tolong.
“Walaupun tidak pandai berenang, mangsa masih mampu timbul sejauh kira-kira 200 meter di tengah laut.
“Ketika itu ombak besar, namun kedudukan mangsa yang dibawa arus laut hampir dengan Menara Penyelamat Pantai B memudahkan lagi usaha menyelamatkannya,” katanya.
IMedikel TV






