Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Seramai 1,055 pelatih Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) daripada 19 universiti awam seluruh negara ditauliahkan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.
Pentauliahan itu berlangsung sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS Ke-22 Tahun 2026 di Padang Kawad Perdana dan Dewan Tuanku Canselor (DTC), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok.
Majlis penyampaian sijil pelantikan daripada Ketua Polis Negara itu disempurnakan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin.
Hadir sama, Naib Canselor UMK merangkap Pengerusi Sekretariat Kor SUKSIS UMK, Datuk Dr. Arham Abdullah dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Menurut Noor Hisam, sehingga kini Kor SUKSIS telah melahirkan seramai 21,902 alumni di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,248 orang atau kira-kira 5.7 peratus menyertai PDRM, membabitkan 1,058 Inspektor, 65 Sarjan dan 125 Konstabel.
“Peranan Kor SUKSIS bukan sekadar aktiviti kokurikulum, malah merupakan platform pembangunan kepimpinan, integriti, disiplin, ketahanan diri dan patriotisme menerusi modul latihan yang dilaksanakan selama tiga tahun, melibatkan enam semester dengan sekurang-kurangnya 672 jam latihan,” katanya.
Beliau berkata, antara modul utama yang diterapkan termasuk kawad, latihan senjata, integriti, pertolongan cemas, seni mempertahankan diri, latihan jasmani dan khidmat masyarakat.
Dalam pada itu, PDRM akan terus memastikan latihan Kor SUKSIS kekal relevan dengan cabaran keselamatan semasa, termasuk ancaman siber, perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), pengurusan krisis, kepimpinan strategik, keselamatan komuniti serta tadbir urus berintegriti.
“PDRM akan terus memperkukuh kerjasama dengan universiti awam bagi memastikan Kor SUKSIS kekal relevan sebagai platform pembangunan kepimpinan dan pembentukan modal insan berkualiti.
“Majlis pentauliahan hari ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi membawa tanggungjawab besar untuk terus menjunjung integriti, profesionalisme, disiplin dan semangat berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Dr. Arham merakamkan penghargaan kepada PDRM khususnya JPJKK Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta komandan Kor SUKSIS universiti awam atas kepercayaan memilih UMK sebagai tuan rumah majlis bersejarah berkenaan.
Beliau berharap pelatih yang ditauliahkan akan terus mengekalkan disiplin tinggi serta memanfaatkan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang menyertai Kor SUKSIS.
“Teruskanlah melangkah dengan penuh keyakinan dan tanggungjawab dalam menjalankan amanah yang bakal dipikul sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi.
“Pesanan saya kepada para pelatih sekalian, sentiasalah beringat di mana tempat kita bermula. Tanpa doa kedua-dua ibu bapa, tidak mungkin kita berada di sini hari ini. Hargailah mereka sentiasa kerana setiap doa yang dipanjangkan ialah senjata paling ampuh untuk kejayaan kita,” katanya.
IMedikel TV






