Home Buletin Semasa BELANJAWAN 2027: MOF JELAJAH NEGARA, DAPATKAN INPUT INDUSTRI STRATEGIK

BELANJAWAN 2027: MOF JELAJAH NEGARA, DAPATKAN INPUT INDUSTRI STRATEGIK

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Kementerian Kewangan (MOF) meneruskan siri jelajah Belanjawan 2027 ke seluruh negara bagi mendapatkan pandangan serta cadangan pemain industri dan sektor ekonomi utama, sebagai persediaan merangka belanjawan yang lebih menyeluruh dan terangkum.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata siri jelajah berkenaan penting bagi membolehkan kerajaan memahami keperluan sebenar setiap sektor sebelum cadangan berkaitan dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.

Katanya, pandangan daripada pemain industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat akan diambil kira bagi memastikan belanjawan negara memberi manfaat kepada pelbagai sektor.

“Matlamat kita adalah untuk menerima cadangan daripada sektor yang berkesan. Dari situ, kita boleh melihat apa yang boleh disambut oleh kerajaan dengan sebahagiannya dimasukkan ke dalam belanjawan.

“Sebahagian lagi akan kita kaji menerusi kerjasama kementerian dan agensi bagi melihat bagaimana kita boleh meningkatkan lagi keupayaan menyokong sektor-sektor itu pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Lawatan Sekolah Angkat MADANI Telekom Malaysia Berhad (TM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor, di sini, hari ini.


Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Amar Huzaimi Md Deris.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata siri jelajah Belanjawan 2027 dimulakan di Tawau, Sabah bagi meninjau potensi ekonomi biru, sebelum diteruskan ke Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak dan Kulim, Kedah untuk mendapatkan input daripada industri automotif.

Menurutnya, lawatan ke Pulau Pinang pula memberi tumpuan kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor yang menjadi antara pemacu utama ekonomi negara.

“Kita juga akan melihat peserta-peserta dalam bidang pembuatan peralatan perubatan kerana negara kita maju dalam sektor itu, di mana kita menghasilkan perkakasan seperti alat kateter dan perentak jantung untuk dieksport,” katanya.

Beliau berkata, sektor industri perlu terus diberi perhatian berikutan kepelbagaian bidang berkenaan yang turut menyumbang kepada pertumbuhan peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

Dalam perkembangan sama, Amir Hamzah berkata menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI TM, seramai 100 pelajar bersama lima guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor mengikuti latihan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta kemahiran digital.

Katanya, sekolah berkenaan turut dilengkapi hab digital TM Future Skills (TMFS) yang menyediakan 10 komputer riba berprestasi tinggi, kit STEM, dron dan pencetak tiga dimensi (3D) bagi menyokong proses pembelajaran.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here