Home Buletin Semasa JKKP PULAU PINANG SIASAT PUNCA KEJADIAN PEKERJA MAUT JATUH BERSAMA PERANCAH

JKKP PULAU PINANG SIASAT PUNCA KEJADIAN PEKERJA MAUT JATUH BERSAMA PERANCAH

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan maut membabitkan seorang pekerja yang terjatuh ketika menjalankan kerja-kerja merombak perancah dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan, di Bukit Mertajam, di sini, pada Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja merombak perancah di tingkat lapan bangunan sebelum struktur sementara yang menampung struktur perancah berkenaan runtuh.

Runtuhan itu menyebabkan mangsa bersama struktur perancah terjatuh ke aras bawah sehingga dia mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pejabat Pengarah JKKP Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima pemberitahuan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan pegawai dihantar ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

“Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan serta memastikan semua aspek berkaitan insiden berkenaan diteliti.

Siasatan awal mendapati mangsa terjatuh bersama struktur perancah selepas struktur sementara yang menampung perancah berkenaan runtuh ketika kerja-kerja merombak sedang dijalankan.

Oleh itu, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan arahan supaya semua aktiviti kerja berkaitan dihentikan serta-merta bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pekerja lain.

Selain itu, pihaknya turut mengarahkan larangan kacau ganggu di kawasan kejadian bagi memastikan lokasi kemalangan dikekalkan dalam keadaan asal sehingga siasatan selesai dijalankan.

“JKKP memandang serius kemalangan maut itu, khususnya yang membabitkan aktiviti kerja di tempat tinggi dan penggunaan perancah.

“Majikan diingatkan supaya memastikan semua kerja di tempat tinggi dirancang serta dilaksanakan dengan selamat melalui pentaksiran risiko dan langkah kawalan yang berkesan, termasuk penyediaan laluan naik dan turun yang selamat serta sistem perlindungan daripada jatuh bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pematuhan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu sentiasa diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko kemalangan ketika menjalankan aktiviti kerja di tempat tinggi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17, Seksyen 18A dan Seksyen 18B Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), selain peraturan-peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkaitan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here