Home Buletin Semasa DARI PEGAWAI KERAJAAN, KINI BERGELAR USAHAWAN MUDA

DARI PEGAWAI KERAJAAN, KINI BERGELAR USAHAWAN MUDA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

CAMERON HIGHLANDS: “Jatuh dan bangun dalam perniagaan perkara biasa, kesungguhan serta keyakinan pada diri sendiri untuk melakar kejayaan perlu ada dalam diri,” kata usahawan muda, Mohd Hafizuddin Nazinal, 35.

Dalam masa 12 tahun bekas pegawai kerajaan dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands memiliki enam perniagaan berasaskan makanan.

Menurut Mohd Hafizuddin, dengan modal RM1,000 dia memulakan peniagaan ikan segar hasil nelayan Beserah, Kuantan dijual kepada peniaga di Cameron Highlands yang dilakukan setiap hujung minggu.

Aktiviti sama dilakukan apabila produk utama Cameron Highlands antaranya seperti jagung, keledek, strawberi dan sayuran dijual di Kuantan sebagai memenuhi permintaan masyarakat setempat.

Katanya, selepas hampir 10 tahun sebagai penjawat awam, dia mengambil keputusan berani untuk menamatkan perkhidmatan bagi memberi tumpuan pada perniagaan selain untuk memberi peluang kepada golongan belia untuk bekerja dalam sektor awam.

“Bermula dari situ saya tidak menoleh ke belakang lagi dalam perniagaan apabila terbabit dalam perniagaan menjual pelbagai produk makanan, tudung wanita dan cenderahati yang terkenal di Cameron Highlands.

“Jatuh bangun dalam perniagaan sememangnya ada, namun saya tidak pernah menyerah kalah. Dunia perniagaan memerlukan keberanian dan tidak boleh mudah menyerah kalah. Yakin pada rezeki Allah yang sediakan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, pengalaman yang ada memberi ruang kepadanya membuka enam outlet perniagaan terletak di King Farm dan Kea Farm di Cameron Highlands termasuk di Kuantan.

Mohd Hafizuddin berkata, pada 2020 dia mengorak langkah dengan menceburi perniagaan ais krim jenama
Araska yang menyediakan
pelbagai variasi dan kombinasi perisa buah-buahan segar seperti strawberi merah dan putih selain coklat susu dan avokado.

Dia kini membekalkan kepada 60 pembekal dengan pengeluaran antara 30,000 hingga 50,000 batang sebulan.

Katanya, dia juga turut menghasilkan minuman premium strawberi dan avokado yang kini mendapat permintaan begitu menggalakkan daripada pelancong tempatan dan antarabangsa yang datang ke Cameron Highlands. Dengan rasa yang tulin dan segar membuatkan produk berkenaan mendapat sambutan.

“Saya turut menghasilkan sejenis makanan terkenal di Cameron Highlands iaitu Scone pelbagai perisa dan warna, pelancong yang datang ke King Farm dan Kea Farm boleh mendapatkan produk berkenaan termasuk minuman premium strawberi dan avokado serta ais krim jenama Araska.

“Dengan sokongan kuat isteri, Noor lyana Mustafa Kamal dan rakan-rakan saya bersyukur berada pada kedudukan sekarang, rancangan selepas ini saya memperluaskan lebih banyak lagi perniagaan pelbagai produk.

“Saya mempunyai 30 pekerja yang begitu setia menjalankan perniagaan, mereka menjadi pencetus kepada kejayaan perniagaan yang saya usahakan,” kata bapa tiga cahayamata itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here