KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi, Yasin Sulaiman menyifatkan hukuman penjara 30 tahun yang pada mulanya dijatuhkan ke atasnya sebagai detik paling getir dalam hidup, hingga pernah terlintas di fikiran agar lebih baik dia dihukum gantung sampai mati.
Memetik laporan Berita Harian, Yasin, 50, mengaku ketika itu dia hilang harapan apabila membayangkan perlu menghabiskan sisa hidup di sebalik tirai besi.
“Saya dijatuhkan hukuman 30 tahun penjara dan seandainya menjadi kenyataan, saya akan berada dalam penjara sehingga umur 80 tahun.
“Itu pun kalau panjang umur. Kalau tidak, mungkin meninggal dunia dalam penjara.
“Saya memang hilang harapan ketika itu dan rasa seperti tiada penyelesaian. Apabila dimasukkan ke Penjara Kajang, saya mula mendekatkan diri kepada Ilahi.
“Keadaan memang teruk dan ketika itu saya rasa seperti tiada jalan keluar,” katanya ketika ditemui pada tayangan teater muzikal Mansur dan Liu arahan Datuk M Nasir di Istana Budaya, malam tadi.
Mengimbas keadaan dirinya selepas hukuman berat itu dijatuhkan, Yasin berkata, tubuhnya serta-merta menjadi lemah dan dia dapat merasakan tekanan darahnya meningkat mendadak.
“Saya boleh rasa darah mengalir laju di kepala dan tekanan darah juga menjadi sangat tinggi. Sampai di lokap, saya hanya mampu berbaring kerana tidak mampu mengawal tekanan perasaan,” katanya.
Bagaimanapun, selepas melalui proses perundangan serta rawatan selama kira-kira empat setengah tahun, termasuk di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Yasin akhirnya dibenarkan keluar pada 2 September lalu.
Menurut penyanyi Mimpi Laila itu, pembebasannya bukan melalui laluan mudah, sebaliknya mengikut prosedur selepas pihak hospital berpuas hati dengan perkembangan rawatan dan tahap kestabilannya.
“Alhamdulillah, sudah genap seminggu saya bebas daripada tahanan Hospital Bahagia Ulu Kinta.
“Sebelum itu, perjalanan yang saya lalui sangat berliku dan mencabar. Saya masuk Penjara Sungai Buloh, kemudian hospital, selepas itu Penjara Kajang dan masuk hospital semula.
“Akhirnya, sempena Hari Kebangsaan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menandatangani perintah pembebasan saya.
“Saya bersyukur dan menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.
Berkongsi pengalaman menjalani hukuman di penjara sebelum dimasukkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Yasin menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai antara episod paling sukar dalam hidupnya.
“Penjara adalah tempat yang teruk. Sangat kotor, ganas dan hina. Ketika pemeriksaan keselamatan, kita dibogelkan dan diarahkan melakukan ketuk ketampi.
“Jadi, nasihat saya, janganlah masuk penjara kerana ia tempat yang paling tidak menyeronokkan,” katanya.
Sementara itu, Yasin berkata, dia dibenarkan keluar hospital dengan dua syarat, iaitu perlu meneruskan pengambilan ubat sehingga tempoh ditetapkan dan tidak boleh terbabit dengan kanabis.
Dalam perkembangan lain, Yasin bakal menerbitkan buku autobiografi setebal kira-kira 400 muka surat yang ditulis sepanjang berada di penjara dan hospital.
Katanya, buku berkenaan kini dalam proses pemilihan gambar sebelum diterbitkan tidak lama lagi.
Pada April tahun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan berkaitan dadah serta mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Che Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara membatalkan sabitan Mahkamah Tinggi yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadap Yasin.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan Yasin ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, bagi tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor. – BH Online –
IMedikel TV






