Home Buletin Semasa PEMANDU HONDA HR-V DITAHAN SELEPAS KEMALANGAN LIMA KENDERAAN DI TUMPAT

PEMANDU HONDA HR-V DITAHAN SELEPAS KEMALANGAN LIMA KENDERAAN DI TUMPAT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan selepas dipercayai memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam kira-kira 4.26 petang, selepas kejadian dipercayai berlaku pada jam 2.15 petang, 7 September lalu.

“Siasatan awal mendapati lelaki berbangsa Cina itu sedang memandu sebuah Honda HR-V dari arah Kota Bharu menuju Pengkalan Kubor.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan secara zig-zag sebelum hilang kawalan lalu melanggar sebuah kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya perlanggaran itu kemudiannya menyebabkan kemalangan membabitkan beberapa kenderaan lain, menjadikan keseluruhan lima kenderaan terlibat.

“Pemandu Honda HR-V terbabit ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan.

“Hasil saringan air kencing terhadap suspek bagaimanapun didapati negatif.

“Suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat semalam dan diperintahkan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

“Kes masih disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas serta tidak memandu secara melulu dan berbahaya sehingga boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here