Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam lubang pembinaan tangki septik di Taman Permai, Demit, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.28 petang itu, mangsa, Zakari Mat Jusoh, 48, ditemui tidak sedarkan diri di dalam lubang sedalam kira-kira 3.05 meter di lokasi binaan berhampiran belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Demit.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Saiful Mohamad Rasid memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada hospital berhubung kejadian sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu dikejarkan ke lokasi.
“Jentera tiba di tempat kejadian pada jam 5.37 petang dan mendapati mangsa berada di dalam lubang berkenaan.
“Anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung sebelum pemeriksaan dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak KKM,” katanya dalam kenyataan.
Operasi menyelamat dikawal pada jam 5.53 petang, manakala operasi masih direkodkan belum tamat dalam laporan JBPM Kelantan.
IMedikel TV






