Home Buletin Semasa NAHAS HELIKOPTER: KERAJAAN SARAWAK SALUR RM100,000 KEPADA SETIAP KELUARGA PETUGAS FDS TERKORBAN

NAHAS HELIKOPTER: KERAJAAN SARAWAK SALUR RM100,000 KEPADA SETIAP KELUARGA PETUGAS FDS TERKORBAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada setiap keluarga petugas Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Long Lellang, Sarawak, pada Selasa.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Datuk Abang Openg, bersetuju supaya sumbangan itu disalurkan sebagai tanda keprihatinan serta bagi membantu meringankan beban keluarga yang ditinggalkan.

Dalam kenyataan media Kerajaan Sarawak, nahas berkenaan berlaku pada 8 September lalu, jam 3.58 petang, ketika para petugas terbabit sedang melaksanakan tugasan membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat.

Kerajaan Sarawak turut bersetuju menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak petugas yang terkorban dan masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak.

“Langkah itu disifatkan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa, dedikasi, keberanian dan pengorbanan petugas berkenaan dalam memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

“Kerajaan Sarawak menzahirkan dukacita yang amat mendalam serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan waris mangsa,” menurut kenyatan.

Menurut kenyataan itu, pemergian para petugas berkenaan adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperkhidmatan, malah seluruh rakyat Sarawak.

Kerajaan Sarawak turut menegaskan khidmat bakti serta pengorbanan mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat pedalaman akan terus dikenang dan tidak dilupakan.

Pada masa sama, kerajaan negeri menyatakan solidariti bersama keluarga dan waris yang ditinggalkan serta mendoakan mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here