LONDON: Pengendali Sabah, Valdas Dambrauskas bakal melengkapkan peningkatan luar biasa daripada peserta rancangan kuiz televisyen kepada jurulatih Liga Juara-Juara Eropah apabila membuat kepulangan penuh emosi ke Old Trafford untuk menentang Manchester United, awal pagi esok.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Kelab Azerbaijan itu membuat penampilan sulung dalam fasa liga pertandingan kelab elit Eropah berkenaan, hanya sembilan tahun selepas ditubuhkan.
Perkembangan pantas Sabah sehingga mampu berkongsi pentas dengan juara Eropah tiga kali, Manchester United, sememangnya satu pencapaian luar biasa.
“Kami sudah mencapai satu tahap yang kadangkala di luar imaginasi kami,” kata Dambrauskas kepada pemberita di Manchester, semalam.
Sabah kelab termuda yang pernah mara ke Liga Juara-Juara dan Dambrauskas berkata: “Kami baru berusia sembilan tahun. Kami tidak pernah layak ke Liga Konferens, tidak pernah ke Liga Europa, malah sebelum ini kami tak pernah melepasi dua pusingan berturut-turut, dan kini tiba-tiba kami berada di Liga Juara-Juara.
“Bayangkan anda masuk ke sebuah bangunan setinggi 12 tingkat yang tiada lif dan anda perlu menggunakan tangga.
“Anda tidak boleh tiba-tiba bergerak dari tingkat pertama ke tingkat kelima. Anda perlu ke tingkat kedua, ketiga dan seterusnya, tetapi entah bagaimana kami berjaya masuk ke bangunan itu dan meletakkan diri kami di tingkat paling atas.”
Jika Sabah mungkin berasa sedikit pening selepas pendakian luar biasa itu, kisah perjalanan pengurus mereka ke pentas Liga Juara-Juara pula seolah-olah skrip filem Hollywood.
Dambrauskas mempunyai banyak perkara untuk difikirkan sepanjang penerbangan ke Manchester apabila fikirannya kembali kepada permulaan kerjaya kejurulatihannya – bekerja di Manchester United Soccer Schools lebih 20 tahun lalu.
Pada usia 25 tahun, jurulatih Lithuania itu menyertai rancangan kuiz televisyen “Who Wants To Be A Millionaire” di negaranya pada tahun 2002.
Dia memenangi lebih 700 pound (RM3,860) dalam rancangan itu dan menggunakan wang berkenaan bagi membiayai kursus kejurulatihan pertamanya.
Bersama isteri dan anak-anaknya, dia berpindah ke England dan mengikuti kursus sains sukan di Universiti Metropolitan London.
Pada tahun 2004, dia menyertai United dan menghabiskan lima tahun mengikuti kursus kejurulatihan di United Kingdom serta seluruh Eropah, sebelum kemudiannya berkhidmat dengan Fulham dan Brentford.
“Saya datang ke sini sudah lama, pada tahun 2002. Pekerjaan pertama saya dalam bidang kejurulatihan ialah di Manchester United Soccer Schools. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






