Home Sukan SELANGOR FC BELUM ‘TEWAS’, MASIH ADA AIAC

SELANGOR FC BELUM ‘TEWAS’, MASIH ADA AIAC

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) belum lagi ‘tewas’ sekalipun Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak permohonan mereka untuk penangguhan pelaksanaan hukuman bermain tanpa penyokong untuk dua aksi Piala FA yang dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Memetik laporan Berita Harian,dalam satu kenyataan, SFC menegaskan permohonan pasukan membabitkan perkara itu masih lagi berada dalam perbicaraan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Justeru, SFC menjelaskan pihaknya sentiasa menunggu perkembangan berhubung permohonan itu sekalipun keputusan CAS itu menyaksikan penyokong tidak dapat menghadiri aksi kedua Pusingan 16 Piala FA berdepan Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

“Jawatankuasa Tatatertib FAM sudah menjatuhkan hukuman di mana SFC diarah untuk bermain tanpa penonton untuk dua perlawanan Piala FA seterusnya dan didenda sebanyak RM100,000.

“Keputusan terbabit juga dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FAM. Sehubungan itu, SFC memfailkan permohonan kepada AIAC di Kuala Lumpur, selaras dengan Artikel 77 dan Artikel 129 Kod Tatatertib FAM (Kod FAM).

“Artikel 77 dalam Kod FAM hanya mengiktiraf AIAC sebagai mahkamah timbang tara bebas yang sah dan bukan mahkamah timbang tara lain seperti CAS.

“Untuk makluman, permohonan ini masih dalam proses perbicaraan di AIAC dan pihak kelab akan memaklumkan sebarang keputusan mengenai perbicaraan ini dari semasa ke semasa.

“SFC akan terus berusaha dan kekal komited untuk melindungi kepentingan semua pemegang taruh kelab,” kata SFC.

Dalam perkembangan sama, SFC juga percaya penyokong akan tetap memberi sokongan sekalipun tidak dapat menyaksikan perlawanan itu secara langsung di Stadium MBPJ.

“Pihak kelab yakin bahawa semangat dan sokongan daripada penyokong Gergasi Merah akan terus mengiringi pasukan dalam perlawanan ini.

“Pihak kelab turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyokong atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dan berterusan kepada pasukan,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here